Beri ruang PH bertanding di Nenggiri

Calon PH perlu diberi peluang bertanding sekiranya PRK Nenggiri diadakan nanti. Gambar hiasan
Calon PH perlu diberi peluang bertanding sekiranya PRK Nenggiri diadakan nanti. Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Calon Pakatan Harapan (PH) perlu diberi peluang bertanding sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diadakan nanti.

Pengerusi PH Gua Musang, Asharun Uji berkata, syor itu dibuat kerana PH mempunyai senarai individu setempat yang layak diangkat sebagai calon wakil rakyat.

"Ini sekadar cadangan, lagipun Barisan Nasional yang merupakan rakan gabungan PH sudah bertanding pada PRN15 (Pilihan Raya Negeri ke-15) lalu.

"Namun tidak salah jika kami diberikan peluang. Bagaimanapun saya menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti di peringkat pusat dan negeri untuk membuat keputusan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, jika diberikan ruang, PH akan berusaha bersungguh-sungguh untuk merampas semula kerusi itu pada PRK nanti.

Ujarnya, PH dilihat mempunyai peluang untuk menang kerana rakyat dilihat semakin terbuka dan selesa memilih calon yang mampu memberi khidmat kepada rakyat.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan bermula Rabu.

Mohd Amar pada sidang akhbar memberitahu keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Mohd Azizi Abu Naim pada 13 Jun dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 12 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, notis itu memaklumkan mengenai hilang keahlian Bersatu menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Azizi mahu memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi Kota Bharu bagi mencabar keputusan Speaker DUN Kelantan.

Pada PRN lalu, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menang dengan majoriti 810 undi menewaskan Abd Aziz Yusoff dari BN.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!