Tiga premis makanan di Terengganu ditutup akibat kotor

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak tiga premis makanan di negeri ini telah ditutup selama tempoh 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong menyatakan, ia menerusi Ops Cakna yang dijalankan secara berkala di setiap daerah di Terengganu melibatkan seramai 120 anggota penguat kuasa termasuk ibu pejabat JKNT dan seluruh penguatkuasa daerah.

"Bagi pencapaian di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya, sebanyak 13 premis makanan telah dibuat pemeriksaan.

"Oleh itu, sebanyak 21 notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai notis RM9,300.

"Selain itu sebanyak tiga premis makanan telah ditutup selama tempoh 14 hari di bawah seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana beroperasi dalam kedaan tidak bersih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Operasi Cakna Undang-Undang Kesihatan Awam Siri 3/2024 di Pantai Batu Buruk di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, bagi aktiviti operasi lak dan sita yang memberi tumpuan terhadap pemeriksaan penjualan makanan, sebanyak 111 item makanan telah disita manakala empat notis kesalahan telah dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 dengan nilai RM8,000.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, sebanyak 1407 notis bagi PPKM 2009 berbanding 870 notis bagi tempoh yang sama tahun 2023 dengan peningkatan 62 peratus.

Menurutnya, JKNT terus komited menguatkuasa Akta dan Peraturan Makanan dalam usaha membendung penularan penyakit Bawaan Air dan Makanan khususnya kejadian keracunan makanan.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga Minggu Epidemiologi 24 sebanyak 18 episod wabak keracunan makanan melibatkan 757 kes dilaporkan berbanding 12 episod wabak keracunan makanan (502 kes) bagi tempoh yang sama tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 50 peratus," jelas beliau.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 84 premis Kawasan larangan merokok telah diperiksa dalam Ops Gomo Asap.

Katanya, sebanyak 52 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 telah dikeluarkan dengan nilai notis RM12,950.

"Antara kesalahan paling tinggi melibatkan kesalahan merokok di kedai makan melibatkan sebanyak 36 kes, Kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) mempunyai empat kes serta lain-lain kesalahan sebanyak 10 kes.

"Selain itu, sebanyak 26 kotak dan 12 batang rokok dirampas dengan nilai sebanyak RM216," ujarnya.

Justeru, Dr Kasemani berkata, pihaknya amat komited dalam membendung tabiat merokok di Kawasan larangan merokok dengan sentiasa meningkatkan operasi secara berkala di setiap daerah di Terengganu selaras dengan pewartaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) yang akan dikuatkuasakan bermula tahun ini.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei lepas, sebanyak 3,878 notis kesalahan merokok telah dikeluarkan berbanding 3,228 notis bagi tempoh yang sama tahun 2023 iaitu peningkatan sebanyak 20 peratus di seluruh Terengganu," ujarnya.