Terumbu karang alami risiko kepupusan kritikal wajar tutup
KUALA TERENGGANU - Kerajaan wajar mempertimbangkan untuk menutup kawasan terumbu karang yang mengalami risiko kepupusan kritikal bagi menggalakkan pembiakan, sekali gus meminimumkan kemusnahan hidupan itu.
Pakar penyelidik batu karang Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Tan Chun Hong berkata, saranan itu tertumpu kepada kawasan terumbu karang yang mengalami kelunturan karang yang tinggi melebihi 50 peratus.
Menurutnya, jumlah pengunjung yang melakukan aktiviti air di sesuatu kawasan juga perlu dihadkan bagi mengurangkan tekanan manusia ke atas batu karang.
"Kerajaan perlu meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai ancaman perubahan iklim kepada ekosistem marin bagi meminimumkan kelunturan karang berskala besar yang sedang berlaku di perairan Malaysia ketika ini.
"Ia perlu dilakukan secara teratur melalui komunikasi yang jelas dengan pihak berkepentingan seperti kedai-kedai selaman, pengusaha pelancongan dan resort di pulau supaya mereka memahami rasional di sebalik tindakan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, katanya, UMT sebagai sebuah universiti yang memfokuskan penyelidikan marin telah mula menjalankan kajian mengenai kelunturan karang sejak tahun 2010.
Katanya, usaha itu dilakukan ketika kelunturan karang kali kedua melanda dunia.
"Dalam kajian tentang perubahan iklim, penyelidik UMT menjalankan penyelidikan untuk memahami adaptasi karang dalam impak perubahan global.
"Kami menggunakan kaedah terkini seperti teknik asid deoksiribonukleik (DNA) dan RNA untuk memahami tindak balas alga zooxanthallae di dalam batu karang semasa berlakunya kelunturan karang.
"Hasil-hasil kajian akan digunakan dalam program pemuliharaan karang seperti restorasi karang bagi meningkatkan daya tahan dan kelestarian batu karang," ujarnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, penyelidikan berkaitan terumbu karang memerlukan dana yang tinggi terutama melibatkan kajian mengenai perubahan iklim.
"Dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang lebih berimpak tinggi, kita harap mampu memberi penyelesaian terhadap masalah perubahan iklim yang mempengaruhi kelunturan karang," katanya.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) sebelum ini mengeluarkan kenyataan terumbu karang di negara ini sedang mengalami isu kelunturan besar-besaran atau mass coral bleaching.
Katanya, situasi itu berlaku akibat peningkatan suhu permukaan laut yang memberi implikasi serius terhadap biodiversiti marin, perikanan terumbu karang dan pelancongan di Malaysia.
Perkara itu dikenal pasti melalui bantuan dan laporan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, operator selam skuba dan penyelam skuba serta pemantauan kelunturan karang dijalankan NGO dan penyelidik tempatan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!