[VIDEO] 'Tiada bau busuk, hanya bau durian'

A
A
A

BATU PAHAT - Penjaga kebun durian mendakwa tidak menghidu bau busuk susulan penemuan rangka manusia dipercayai milik remaja Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, di kebun seluas kira-kira dua hektar di Kampung Sri Wangi, Parit Yaani di sini pada Isnin.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Wong, 72, memberitahu, ia susulan buah durian di kebun itu mulai gugur dua minggu lalu dan bau raja buah itu sangat kuat.

Wong bagaimanapun, mengakui ada menemui tulang yang disangkanya tulang haiwan di kebun durian terbabit, pada Sabtu lalu.

"Saya tidak usik tulang itu dan biarkan sahaja. Tetapi pagi semalam, ramai anggota polis di kebun durian dan diberitahu mengenai penemuan rangka manusia di kebun durian.

Wong menunjukkan tempat tulang yang ditemui pada Sabtu lalu.
Wong menunjukkan tempat tulang yang ditemui pada Sabtu lalu.

"Sebelum ini, kebun durian dipenuhi dengan semak. Tetapi kira-kira dua minggu lalu, kebun dibersihkan oleh dua pekerja yang diupah kerana musim durian gugur sudah tiba," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Sementara itu situasi sama turut dialami pekerja pembinaan di Kompleks Penghulu Mukim Linau yang tidak mencium bau busuk meskipun tapak pembinaan dan lokasi penemuan mayat hanya terletak kira-kira 50 meter.

Mohd Rizza Masri, 38, yang merupakan penyelia pembinaan tersebut memberitahu hanya bau durian yang dihidu sejak dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

“Sudah dua bulan, saya dan pekerja lain berada di sini, menyiapkan kerja-kerja pembinaan bangunan kompleks penghulu yang baharu.

"Tiada sebarang bau busuk yang dihidu sebelum ini. Saya tahu ada rangka manusia di kebun durian itu, pagi semalam, selepas ramai anggota polis dan orang ramai datang ke situ," katanya.

Lokasi penemuan rangka manusia di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, Parit Yaani, Batu Pahat.
Lokasi penemuan rangka manusia di kebun durian berhampiran Kompleks Penghulu Mukim Linau, Parit Yaani, Batu Pahat.

Pada Isnin, polis mengesahkan penemuan rangka manusia dalam kebun durian yang disyaki milik Hafiz Fauzan, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama Parit Raja, Batu Pahat selepas dilaporkan hilang 26 Mei.

Turut ditemui sebuah motosikal dikatakan hampir sama digunakan Hafiz Fauzan berdasarkan nombor pendaftaran seperti dihebohkan ahli keluarganya di media sosial selepas kehilangannya.

Motosikal terbabit ditemui tersangkut di celah batang pokok bersebelah kebun durian. Selain itu, turut ditemui jaket dan juga topi keledar.

Lokasi penemuan rangka manusia di kebun durian di Kampung Sri Wangi, Parit Yaani Batu Pahat. (Gambar kecil: Mohd Rizza)
Lokasi penemuan rangka manusia di kebun durian di Kampung Sri Wangi, Parit Yaani Batu Pahat. (Gambar kecil: Mohd Rizza)

Susulan penemuan rangka terbabit, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta pembabitan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah bagi mengenal pasti jika wujud unsur lain yang menyebabkan kematian mangsa.

Polis turut mengambil sampel daripada ahli keluarga mangsa untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menentukan rangka terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!