Pemerdagangan orang: KDN garis tiga perkara capai Tahap 1 JNAS

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggariskan tiga perkara untuk mencapai sasaran kedudukan Tahap 1 (Tier 1) dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga perkara itu antaranya 'capacity building'(meningkatkan keupayaan), kerjasama antara agensi dan mengekalkan indikator penilaian selain menambah baik perundangan.

"Dengan peningkatan tahap ini, kita tiada lagi kerisauan mengenai sekatan pasaran produk yang dihasilkan industri perladangan," katanya pada sidang akhbar di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras, di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, Saifuddin merasmikan majlis penutup Mesyuarat Agung Tahunan Ke-40 2024 Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa).

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Respa, Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.

Saifuddin berkata, pihaknya menyambut baik peningkatan positif Malaysia yang berjaya ke Tahap 2 (Tier 2) dalam laporan JNAS 2024

"Dalam laporan itu juga disebut beberapa perkara yang masih belum dipatuhi sepenuhnya dan KDN komited untuk melonjak ke Tier 1 pada masa akan datang," katanya

Beliau berkata, laporan berkenaan juga menggariskan 16 perkara penambahbaikan dan pelan tindakan yang boleh dilaksanakan Malaysia untuk penilaian tahun berikutnya iaitu mulai 1 April lalu hingga 31 Mac 2025.

Artikel Berkaitan:

"Usaha menoktahkan pemerdagangan orang ini memerlukan kerjasama erat pelbagai pihak berkepentingan.

"Komitmen ini diharap dapat menghasilkan inisiatif signifikan berdasarkan teras perundangan, penguatkuasaan, perlindungan dan pencegahan merentasi fungsi pihak berkepentingan yang boleh meningkatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang di Malaysia,"katanya.

Untuk rekod, bagi penilaian terdahulu, Malaysia disenaraikan sebagai kedudukan pada Tahap 2 Pemerhatian (Tier 2 Watchlist).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!