Polis jadi sasaran kumpulan militan - Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Tahunan ke- 40 Tahun 2024 di Maktab PDRM Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Mesyuarat Agung Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (RESPA) Tahunan ke- 40 Tahun 2024 di Maktab PDRM Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan pengganas Daesh dikesan meletakkan ideologi menjadikan pasukan polis sebagai sasaran utama serangan apabila melakukan sesuatu bentuk penentangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Daesh berdiri teguh dengan ideologi yang ekstrem demi menuntut pemerintahan berprinsipkan khalifah.

"Adalah wajar kumpulan tersebut ditentang kerana akan mengancam ketenteraman awam dan kemungkinan menyasarkan orang kenamaan," katanya pada sidang media di Maktab PDRM, Cheras, di sini pada Selasa.

Terdahulu, Saifuddin merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (Respa).

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Respa Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.

Saifuddin berkata, wajar difokuskan adalah ideologi Daesh.

"Dalam kefahaman mudah, kepercayaan Daesh menganggap bahawa di dalam pemerintahan kerajaan itu jika tidak tertegak pemerintahan khalifah mewajarkan mereka membuat penentangan.

“Dalam siri penentangan, mereka itu meletakkan polis sasaran nombor satu untuk mengalahkan kerajaan yang tidak memegang prinsip khalifah. Maka urutan itu dimulai pihak polis, itu ideologinya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, cabaran utama dihadapi pasukan polis adalah mengesan pelbagai bentuk ideologi yang disebarkan kepada pengikut Daesh.

"Bila disebut ideologi bukan nampak seperti melihat air mengalir, ia tersebar pelbagai cara," katanya.

Menurutnya, polis berjaya mematahkannya, proses siasatan awal dapati kumpulan ini menyasarkan orang-orang kenamaan pegawai tertinggi polis, itu hasil intipan dan risikan.

"Bagi membendung ideologi ini tersebar, selepas kenal pasti (miliki ideologi) ketika soal siasat, kita mengklasifikasikan ia sebagai ancaman kepada negara," katanya.

Pada Selasa media melaporkan, lapan warga tempatan ditahan kerana dipercayai terbabit dengan ideologi kumpulan pengganas Daesh dalam satu operasi serentak di empat negeri pada Sabtu dan Ahad lalu.

Tangkapan membabitkan enam lelaki dan dua wanita itu dibuat di Kelantan, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Semua suspek yang berusia antara 25 hingga 70 tahun itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu, terdapat kepelbagaian latar belakang pekerjaan dan status ekonomi kelapan-lapan suspek seperti penganggur, suri rumah dan bekas pensyarah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!