[VIDEO] Jenazah Kamal Bakar selamat dikebumikan

A
A
A

JENAZAH pelakon veteran, Kamarulzaman Bakar,62, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru dekat sini pada Selasa sekitar jam 2.20 petang.

Jenazah pelakon itu selesai dimandi dan dikafankan di Masjid Al- Ehsan Bukit Baru sebelum disembahyangkan dengan dihadiri lebih 500 orang termasuk ahli keluarga dan rakan selebriti.

Antara selebriti yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir, Datin Fadhilah Mansor, Haida, Aziz M Osman dan Mubarak Majid.

Allahyarham yang terkenal dengan nama Kamal Bakar menghembuskan nafas terakhir ketika mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat kanser paru-paru tahap empat tiga minggu lalu.

Allahyarham juga meninggalkan seorang balu Sarinah Shariff, 55, dan lima anak termasuk pelakon, Muhammad Hanis, 35.

Muhammad Hanis (tengah) bersama adik-adiknya menyiram air di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru pada Selasa.
Muhammad Hanis (tengah) bersama adik-adiknya menyiram air di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Baru pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhammad Hanis yang ditemui berkata, dia sekeluarga reda dengan pemergian arwah bapanya yang mengalami gejala batuk berpanjangan sejak Hari Raya Aidilfitri lalu sebelum dimasukkan ke hospital.

Menurutnya, selepas lapan hari mendapatkan rawatan di ICU, pakar perubatan mengesahkan Allahyarham mengidap penyakit kanser paru-paru.

"Apa yang berlaku terlalu drastik, saya ingat lagi, sebelum arwah menaiki ambulans untuk dihantar ke hospital ayah sempat menunaikan solat Asar dan saat akhirnya lebih dekat dengan akhirat.

"Walaupun sedih namun kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir menziarah dan mendoakannya," katanya.

Jenazah diusung ke tanah perkuburan untuk pengebumian.
Jenazah diusung ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

Rakan seangkatannya, Datin Fadhilah Mansor, mengakui arwah merupakan insan yang baik dan mudah menghulurkan pertolongan.

Malah menurutnya, mengenali arwah lebih 30 tahun lalu di Melaka selain pernah membintangi beberapa drama bersama arwah.

"Terasa kehilangannya dan hari ini rezeki saya dapat melawat arwah buat kali terakhir, dia memang baik orangnya," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan Allahyarham yang merupakan pesara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) meninggal dunia di Hospital Melaka di sini pada jam 1.10 pagi.

Berita itu disahkan anak bongsunya, Haiqal menerusi mesej WhastApp setelah bapanya dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Kamal telah memulakan kerjaya lakonan sejak era 1970-an dengan membintangi pelbagai drama dan filem seperti Andai Itu Takdirnya, Orang Minyak, Suami Aku Ustaz, Pendekar serta Ratu Teh Pin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!