SPIM dibuka kepada individu tiada kelayakan SPM

Anthony ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia (PIMA), pada Selasa.
Anthony ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia (PIMA), pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi pengecualian kepada pemohon Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyertai kursus berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengecualian syarat sementara itu untuk tempoh enam bulan bermula 1 Julai sehingga 31 Disember ini di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia.

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai golongan muda untuk menjadi tenaga pengajar di institut memandu dan mengurangkan masalah kekurangan kakitangan di sana.

"Pemohon terlibat perlu mengikuti semua peringkat kursus dan melepasi ujian-ujian yang ditetapkan sebelum memperoleh sijil pengajar yang sah," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 Persatuan Pengusaha Pusat Latihan Memandu Malaysia (PIMA), pada Selasa.

Dalam pada itu, menurutnya, sebelum ini sesiapa yang berhasrat menjadi tenaga pengajar di institut memandu (IM) perlu memiliki SPM dan ia merupakan salah satu syarat wajib.

Jelasnya, pengenalan terhadap pengecualian syarat tersebut dilaksanakan untuk melihat keberkesanannya dan kajian semula akan dilakukan jika ada keperluan.

"Saya difahamkan setiap tahun kira-kira 700,000 bakal pemandu mendaftarkan diri di satu daripada 255 institut memandu di Malaysia manakala institut memandu adalah majikan kepada lebih 15,000 tenaga pengajar dan pekerja.

"Berdasarkan pertumbuhan ekonomi negara yang positif dan industri institut memandu yang masih mengembang, sudah tentu tenaga pengajar ini perlu ditambah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anthony berkata, pihak JPJ juga akan diminta untuk mengkaji semula garis panduan dan peraturan sedia ada melibatkan isu kawalan harga serta kos institut memandu.

"Menjadi keutamaan bagi Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan karenah birokrasi yang tidak membawa manfaat ketara kepada teras matlamat dasar. Apa yang boleh dipermudahkan, kita cuba laksanakan tanpa menjejaskan integriti.

"Justeru, saya akan minta JPJ untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan sedia ada termasuk syarat penggunaan Kenderaan SKIM.

"Ia termasuk membenarkan penggunaan kenderaan IM bagi tujuan mengambil dan menghantar calon serta pengangkutan dari rumah ke pejabat untuk pengajar IM dengan syarat," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!