[VIDEO] 'Naluri saya kuat mengatakan itu rangka Hafiz Fauzan' - Bapa

A
A
A

BATU PAHAT - "Naluri hati saya kuat mengatakan rangka itu milik Hafiz Fauzan", itu reaksi Abdul Halid Sugiman, 44, susulan penemuan rangka manusia bersama motosikal di kebun durian berdekatan Kompleks Penghulu Mukim Linau, Parit Yaani, pada Isnin.

Abdul Halid merupakan ayah kepada Hafiz Fauzan yang merupakan pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Agama Parit Raja yang dilaporkan hilang pada 25 Mei lalu.

Ketika ditemui dirumahnya di Bandar Putera Indah, pada petang Selasa, Abdul Halid menyifatkan Hafiz Fauzan yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik itu sangat baik dan aktif dalam bola sepak.

"Saya ada pergi ke jalan Yong Peng- Muar dekat Kampung Sri Wangi yang mungkin Hafiz lalu untuk pulang ke rumah. Tetapi tiada sebarang petunjuk ditemui di situ.

"Akhirnya pencarian selama sebulan berakhir di situ, selepas rangka manusia dipercayai milik Hafiz Fauzan dijumpai di situ pada pagi Isnin," katanya.

No Image Caption

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Dayong, Seri Medan memberitahu dia dihubungi polis sekitar jam 11.30 pagi, Isnin, ketika sedang mengajar.

Jelasnya, panggilan itu bagi mengesahkan nombor pendaftaran motosikal dinaiki Hafiz Fauzan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas itu, saya diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk diambil sampel air liur dan membuat pengecaman motosikal dan beberapa barang seperti dokumen pengenalan diri dan pakaian.

"Kemudian saya diminta ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk diambil darah bagi ujian DNA. Saya diberitahu keputusan ujian akan diketahui minggu depan," ujarnya.

Abdul Halid (kanan) menunjukkan jersi bola yang dipakai Hafiz Fauzan ketika menyertai pertandingan bola sepak.
Abdul Halid (kanan) menunjukkan jersi bola yang dipakai Hafiz Fauzan ketika menyertai pertandingan bola sepak.

Abdul Halid berkata, dia dan isteri yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Sulaiman, Parit Sulong merancang untuk berpindah ke kampung halaman di Tanjung Karang Selangor, pada awal tahun ini.

Bagaimanapun, ketika diberitahu mengenai perancangan tersebut, Hafiz Fauzan memberitahu dia mahu terus berada di Batu Pahat untuk menduduki peperiksaan SPM bersama rakannya.

"Beberapa hari sebelum Hafiz Fauzan dilaporkan hilang, rakan-rakan di asrama memberitahu Hafiz Fauzan banyak termenung.

"Hafiz Fauzan sememangnya minat dengan bola sepak semenjak dari kecil lagi. Sebelum dua hari, dia dilaporkan hilang, dia mewakili sekolah dalam pasukan bola sepak dan muncul juara pertandingan antara sekolah-sekolah menengah agama negeri Johor," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!