Mydin lancar e-dompet MYDINPay
MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) membuktikan kesediaan berubah ke era digital menerusi pelancaran aplikasi e-dompet MYDINPay pada Selasa.
Aplikasi itu merupakan yang pertama dibangunkan oleh rangkaian peruncit dan pemborong dalam negara.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, MYDINPay menawarkan pelanggan pengalaman membeli-belah menyeronokkan dengan inovasi perniagaan yang memberi kemudahan kepada mereka.
Menurutnya, sebagai pemain industri perniagaan, Mydin menyedari pentingnya perniagaannya mengikut arus dan beradaptasi dengan peralihan teknologi digital.
"Bagi memastikan kami mengikut tuntutan tersebut pelbagai langkah proaktif sedang dan telah kami gerakkan sekali gus memanfaatkan penggunaan teknologi digital.
“Mydin menjalinkan sinergi dengan rakan-rakan kerjasama tidak kiralah teknologi bayaran, logistik, simpanan barangan dan stok bagi memastikan kami kompeten dan pantas dalam bersaing dengan dunia teknologi, " katanya pada pelancaran MYDINPay di Mydin Subang Jaya pada Selasa.
Pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo di Mydin Subang Jaya.
Dalam pada itu, Ameer Ali berkata, pembangunan aplikasi terbabit direalisasikan melalui kerjasama Mydin dengan Wavpay pada Oktober 2023.
Ujarnya, bersempena dengan pelancaran itu, MYDINPay menawarkan baucar RM5 bagi 1,000 pengguna aplikasi terawal.
"Sementara 3,000 pelanggan pertama yang membelanjakan RM150 ke atas dengan aplikasi di mana-mana cawangan, layak menikmati pulangan tunai sebanyak 5 peratus.
"Kami juga turut menganjurkan cabutan bertuah kepada pengguna aplikasi pada hari ini bernilai RM2,000," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!