Tindakan tegas terhadap kempen provokasi - PDRM

Puspanathan (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Selasa.
Puspanathan (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan penyokong parti politik agar tidak menimbulkan sebarang provokasi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Senior Asisten Komisioner W Puspanathan berkata, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana parti politik atau penyokong yang dikesan bertindak sedemikian.

"Dalam tempoh berkempen yang berbaki 11 hari sebelum hari mengundi 6 Julai depan, kami mengingatkan semua pihak agar tidak memainkan isu 3R (agama, kaum dan raja) dan menghindarkan tindakan atau ucapan yang boleh menimbulkan ketegangan atau provokasi antara penyokong.

"Ia termasuklah khianat atau merosakkan mana-mana bahan kempen pilihan raya seperti poster, bendera parti dan seumpamanya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau yang juga merupakan Jurucakap Polis Pulau Pinang bagi PRK DUN Sungai Bakap berkata, setakat ini, belum ada laporan polis diterima berhubung mana-mana kesalahan yang dikesan.

Puspanathan menunjukkan rekod tiada laporan polis diterima berkaitan kempen sepanjang PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Puspanathan menunjukkan rekod tiada laporan polis diterima berkaitan kempen sepanjang PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Hari keempat kempen bagi PRK N20 Sungai Bakap, sebanyak tujuh permit ceramah telah diluluskan dan tiada permohonan ditolak.

"Jumlah keseluruhan permit yang diluluskan setakat ini sebanyak 17 permohonan," ulasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, parti politik dan penyokong diminta tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan sumber maklumat tidak sahih.

"Semua pihak dinasihatkan merujuk kepada pihak polis jika terdapat sebarang maklumat atau pelanggaran undang-undang dan peraturan yang sedang berkuat-kuasa untuk diambil tindakan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!