Pecah kerusi bongkar kisah bapa dengan 2 anak comot, hyperaktif
GOMBAK - Kehadiran seorang bapa ke sekolah dengan berpakaian lusuh dan kotor merungkai kisah sebenar kehidupan lelaki itu bersama dua anaknya.
Lelaki itu meredah kira-kira 30km menggunakan motosikal buruknya ke sekolah kerana dipanggil bagi membincangkan kesalahan anak lelakinya yang memecahkan bangku sekolah.
Perkara tersebut dikongsi seorang guru, Mohd Fadli Salleh di laman Facebooknya yang menceritakan mengenai kisah murid lelaki Tahun Satu yang dipercayai seorang hyperaktif.
"Dua hari lepas, dia dengan sengaja pecahkan bangku kantin. Bangku buah-buahan yang dibeli dengan duit kiriman sahabat-sahabat yang baik hati.
"Maka unit disiplin, guru kelas dan pentadbir berbincang. Perlu panggil ibu bapanya untuk bincang kelakuan anaknya yang hyperaktif ini. Mencari jalan terbaik bagi murid ini agak tidak ternafi haknya untuk belajar dengan sempurna," katanya.
Bagaimanapun, Mohd Fadli berkata, beliau bersyukur kerana secara kebetulan murid tersebut adik kepada seorang murid perempuan yang menjadi perhatiannya disebabkan hadir ke sekolah dengan berpakaian comot.
Menceritakan detik kedatangan ayah kepada murid tersebut, Mohd Fadli terkejut apabila bapa murid itu memakai sepasang kasut lusuh dipenuhi selut dan kotoran.
"Kami beritahu kerosakan yang dibuat anaknya perlu diganti, dengan serba salah dia cakap boleh tetapi tunggu dapat gaji. Jantung aku seakan berhenti mendengar jawapan pendek itu.
"Nilai bangku itu tidaklah besar di zaman ini tetapi masih ada yang perlu tunggu gaji, namun, bila saya bertanya di luar pejabat rupanya dia telah ulang alik dari Kuang ke Gombak hanya dengan motosikal dengan keadaan panas terik.
Menurutnya, lelaki itu mempunyai anak empat orang namun dua lagi yang juga pasangan kembar mengikut isterinya setelah mereka berpisah.
"Patutlah anak perempuannya tidak pandai pakai tudung. Rupanya dijaga oleh ayah sejak sekian lama.
"Pakaiannya patutlah selalu nampak comot. Tidak terjaga seperti orang lain yang punya keluarga. Rupanya tinggal bersama ayah," katanya.
Mohd Fadli mengambil keputusan untuk menggantikan kerusi yang dirosakkan murid lelaki itu selepas sebak dengan jawapan yang diterima lelaki tersebut.
Sementara itu, perkongsian kisah tersebut kini tular di media sosial yang meraih 45,000 tanda suka dan rata-rata netizen meluahkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa tiga beranak tersebut.
"Semoga bantuan cikgu dapat meringankan beban mereka. ALLAH saja membalas kebaikan cikgu. Sebak saya baca kisah cikgu ini. Terima kasih cikgu selama ini banyak membantu keluarga pelajar sekolah yang memerlukan bantuan," tulis Samad Idham di Facebook.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!