Pelantikan dipertikaikan, ahli akademik 'back up' Siti Nurhaliza

Pelantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).
Pelantikan penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced).
A
A
A

PELANTIKAN penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar di Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced) telah mengundang perdebatan warga maya yang merasakan beliau tidak layak diberikan jawatan tersebut.

Namun pandangan itu dibidas beberapa individu lain termasuk ahli akademik seperti penyelidik dan pensyarah, Profesor Madya Datuk Dr Ramzah Dambul.

Ujar Ramzah atau dikenali sebagai Rem Dambul, kepakaran seseorang itu bukan hanya bersandarkan buku atau teori tetapi merangkumi pengalaman dalam bidang yang diceburi.

"Seseorang yang sudah mengusahakan ladang durian dengan jaya selama 20 hingga 30 tahun, boleh dianggap pakar perladangan, tapi mungkin belum boleh dianggap pakar agrotani sebab kepakaran praktikal tidak sama dengan kepakaran ilmu, yang menuntut asas saintifik yang lebih sistematik..

"Begitu juga seorang pakar sains agrotani berkelulusan PhD, belum tentu layak dipanggil pakar perladangan kerana mempunyai ilmu tani yang tinggi, belum tentu memiliki kemahiran berladang yang efektif,” katanya yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan Sabah.

Tambah Ramzah, ilmu boleh dipelajari dari institusi pendidikan manakala kepakaran amali boleh ditimba daripada 'universiti' kehidupan.

"Kedua-dua kepakaran ini penting dan menawarkan nilai signifikan tersendiri. Dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat, simbiosis pendidikan formal dan pengalaman praktik mesti dipupuk dan dihayati, sedalam-dalamnya.

"Kalau tidak, nanti orang ingat, bila sudah dapat penarafan ijazah tertinggi, maka bolehlah berhenti belajar. Sebab kononnya kitar pendidikan telah tamat.

Artikel Berkaitan:

"Sedangkan konsep pembelajaran sepanjang hayat itu merentasi institusi pengajian formal. Proses itu mesti berterusan sehingga memasuki alam pekerjaan dan dunia kehidupan sebenar,” ujarnya.

Oleh yang demikian, Ramzah berpendapat, pelantikan bintang berusia 45 tahun itu sebagai pakar di UMCced adalah satu pemilihan yang bertepatan kerana Siti sudah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa dalam bidang yang diceburinya.

"Semua merit itu adalah endorsement pada kepakaran Siti dalam bidang tersebut. Jangan ditanya dan dipertikai lagi — Siti itu pakar apa? Universiti terbaik di Malaysia telah pun memperakui kepakaran yang Siti miliki," katanya.

'Saya sokong Siti'

Senada dengan Ramzah, Ketua Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, tidak menjadi satu masalah buat UMCced melantiknya sebagai pakar.

Bahkan pelantikan itu dilihat menjadi satu nilai tambah buat pusat pengajian tersebut dan para pelajarnya.

"Tidak ada masalah Datuk Seri Siti Nurhaliza dilantik sebagai pakar di UMCced kerana pusat itu bukan mengeluarkan ijazah dan beliau tidak terlibat dalam urusan akademik melainkan urusan yang berkaitan dengan kepakarannya dalam seni suara.

"Siapakah penyanyi nombor satu di negara ini sehingga diterima secara meluas di peringkat antarabangsa? Di negara jiran pun beliau sangat terkenal.

"Dari segi penjenamaan, nilai imej yang dibawa oleh beliau sangat besar. Pelajar akan khusyuk semasa beliau menyampaikan ceramah - bukan kuliah ya, berbanding dengan penceramah pakar lain yang ada ijazah seni nyanyi," jelasnya.

Bahkan Mohamad Saleeh juga bersetuju bahawa kepakaran tidak ditentukan oleh ijazah dan ijazah tidak menentukan kepakaran.

Malah, ada ahli akademik itu sendiri tidak semuanya benar-benar pakar dalam bidang masing-masing.

"Jangan ingat semua pemegang PhD atau profesor di pelbagai universiti sama taraf kepakarannya. Malahan di Universiti Malaya (UM) pun ada program Elite yang melantik seseorang tanpa ijazah tetapi 'pakar' dalam bidangnya untuk memberikan kuliah sesekali secara jemputan.

"UM juga ada Jurulatih Industri yang dilantik dalam kalangan pakar dan ada kelulusan. Tugasnya cuma memberikan ceramah beberapa kali. Orang industri yang pakar sebagai pengamal bidang sangat diperlukan sebagai pelengkap kepada kurikulum rasmi.

"Saya sokong Siti," ujarnya.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai mempersoalkan kewajaran Siti diangkat sebagai pakar di UMCced untuk tempoh dua tahun selepas institusi itu berkongsi berita gembira itu menerusi media sosial.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!