Polis Perak siasat video pelajar perempuan dibuli dalam tandas

Tangkap layar video memaparkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah Kerian dibuli pelajar lain sebelum tular di media sosial.
Tangkap layar video memaparkan seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di daerah Kerian dibuli pelajar lain sebelum tular di media sosial.
A
A
A

PARIT BUNTAR- Polis menyiasat satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian buli melibatkan beberapa pelajar perempuan dari sebuah sekolah menengah di daerah Kerian di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, siasatan dilakukan selepas menerima laporan daripada pelajar perempuan berusia 13 tahun pada Selasa.

"Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku sekitar jam 10.30 pagi, 14 Jun lalu yang mana pelajar Tingkatan Satu itu dibuli dua pelajar perempuan berusia 15 tahun.

"Dalam kejadian itu, suspek telah membawa mangsa ke tandas dan dia bersama seorang lagi rakannya menampar mangsa berulang kali dan merakam video kejadian tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa cemburu suspek terhadap mangsa.

"Mangsa dikatakan rapat dengan teman lelaki suspek yang juga berusia 15 tahun di sekolah berkenaan.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes tersebut dengan menghubungi balai polis berhampiran atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian di talian 05-7212222 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, video berdurasi 1 minit 21 saat itu menunjukkan seorang pelajar perempuan dibuli dua pelajar lain sehingga tular di media sosial telah mencetus kemarahan warganet.

Pelajar yang memakai baju hijau telah menampar mangsa tiga kali manakala rakannya menampar sekali.

Mangsa dilihat hanya menangis dan menahan tamparan daripada seniornya itu tanpa melawan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!