KPDN Pulau Pinang rampas 700 liter petrol

Enam tangki IBC dirampas daripada lori yang dipandu oleh seorang lelaki dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam.
Enam tangki IBC dirampas daripada lori yang dipandu oleh seorang lelaki dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Bukit Mertajam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas enam tangki Intermediate Bulk Container (IBC) mengandungi 700 liter petrol bernilai RM1,435 dalam serbuan di sebuah stesen minyak dekat sini pada Selasa.

Pengarahnya, S Jegan berkata, penguat kuasa KPDN Pulau Pinang turut menyita satu set motor pam dan paip menjadikan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM23,135.

Menurutnya, rampasan itu dibuat menerusi Ops Tiris 3.0 hasil maklumat risikan yang dijalankan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Pulau Pinang.

"Kita telah memeriksa sebuah lori jenis Nissan sedang mengisi petrol di sebuah stesen minyak.

"Pemeriksaan lanjut pada lori berkenaan mendapati, ada sebuah motor pam dan hos paip dalam keadaan bersambung yang disyaki untuk pemindahan minyak petrol dari pam terus ke dalam tangki IBC," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, pihaknya turut menahan pemandu lori berkenaan yang berusia 47 tahun kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen lesen atau permit bagi penyimpanan barang kawalan tersebut.

"Kertas siasatan bagi tindakan kes ini telah dibuka dan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 112] bagi mengenalpasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan ini serta rantaian pengedaran bahan api petrol tersebut.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan kedua untuk sesuatu pertubuhan perbadanan.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu bagi orang perseorangan, didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan denda tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Jegan berkata, KPDN Pulau Pinang sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar Pulau Pinang bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

"Kita akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga," katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!