Malaysia ambil tindakan serius laporan pemerdagangan orang - Mohamad

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia akan terus mengambil tindakan serius dalam menangani jenayah pemerdagangan orang serta memastikan pelaksanaan penuh Pelan Tindakan Nasional Anti Pemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0).

Ia susulan kejayaan Malaysia yang kembali mencapai kedudukan Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat 2024 setelah kali terakhir berada pada tahap itu tujuh tahun lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau mengalu-alukan peningkatan kedudukan Malaysia yang menjadi pengiktirafan terhadap kemajuan yang dicapai oleh kerajaan dalam memerangi jenayah tersebut.

"Ini termasuklah peningkatan jumlah siasatan, pendakwaan dan sabitan terhadap pemerdagangan orang, peningkatan bilangan pakar pendakwa raya pemerdagangan orang, peningkatan peruntukan bagi perlindungan mangsa, serta penambahbaikan program kesedaran awam.

"Malaysia akan terus mengambil tindakan serius untuk menangani jenayah yang keji ini dan isu-isu pemerdagangan orang serta memastikan pelaksanaan penuh NAPTIP 3.0,"katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kedudukan negara pada Tahap 2 meletakkan Malaysia naik satu tahap lebih tinggi berbanding tahun lalu, iaitu Tahap 2 Pemerhatian.

Antara pencapaian signifikan yang direkodkan adalah peningkatan bilangan penyiasatan, sabitan kes dengan hukuman yang signifikan, program kesedaran, pendakwaan terhadap penjawat awam, peningkatan pendakwaan kes pemerdagangan buruh, penyaluran peruntukan kepada rumah perlindungan serta peningkatan kelulusan kebenaran bergerak bebas kepada mangsa pemerdagangan orang.

Sehubungan itu Malaysia mahu rakan-rakan antarabangsa untuk bekerjasama dalam menangani cabaran bersama dalam isu ini.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia juga menyeru negara-negara asal untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam mencegah rakyat mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan, serta mendakwa dan menghukum penjenayah yang terlibat di negara asal,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!