Kerajaan alukan pandangan bekas pegawai polis tangani ancaman jenayah

Meor (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Saifuddin dalam Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (Respa) pada Selasa.
Meor (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Saifuddin dalam Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (Respa) pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengalaman yang dimiliki oleh bekas pegawai kanan polis dapat membantu kerajaan dalam menghadapi sebarang isu jenayah yang dirasakan sangat dinamik dan kompleks pada masa ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan sentiasa mengalu-alukan sebarang idea atau pandangan daripada bekas pegawai kanan polis dalam mencari solusi demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan.

"Kita sentiasa mengangkat sebarang usaha martabatkan dan melakukan penambahbaikan Polis Diraja Malaysia melalui kerjasama antara Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya dalam sidang akhbar di Maktab PDRM, Cheras pada Selasa.

Sebelum itu, Saifuddin merasmikan Majlis Penutup Mesyuarat Agong Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara (Respa).

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Presiden Respa Datuk Meor Chek Hussien Mahayuddin.

Saifuddin berkata, isu jenayah sangat dinamik dan sudah tentunya berubah mengikut masa serta zaman.

"Meskipun ancaman komunis tidak lagi wujud pada masa ini, namun apa yang dibimbangkan adalah ancaman bersifat fahaman ideologi, jenayah kewangan dan sebagainya.

"Justeru setiap pengalaman dan idea yang dimiliki oleh Respa sangat kita hargai demi keselamatan negara ditambah dengan dukungan mereka yang menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri pada masa ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga berharap dapat menggunakan idea dan pendapat daripada bekas pegawai polis ini dalam mewujudkan tatakelola yang baik sama ada di peringkat KDN dan PDRM.

"Melalui setiap pandangan dan idea daripada Respa, ia boleh diteliti secara semula jadi melalui mekanisme yang boleh dibentuk atau diperbaharui.

"Saya rasakan PDRM harus mengambil pendekatan terbuka daripada setiap pandangan dan syor daripada Respa demi kebaikan bersama," katanya.

Saifuddin berkata, jangan ada 'denial syndrome' (sindrom penafian), tetapi pimpinan PDRM harus berani berhadapan dalam apa juga perkara yang berlaku.

Beliau dipercayai mengulas perkara itu berdasarkan masalah-masalah integriti membabitkan pegawai dan anggota PDRM namun tidak menjelaskan secara terperinci.

Saifuddin juga turut menyambut baik cadangan Respa tentang modul latihan di setiap Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang perlu diteliti semula atau ditambah baik oleh pihak pengurusan PDRM.

Respa yang berusia 40 tahun ditubuhkan pada tahun 1984 dan keahliannya pada masa ini berjumlah lebih 2,300 orang bekas pegawai kanan polis di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!