Rang undang-undang perkhidmatan Parlimen dibentang Oktober - Johari

Johari
Johari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang Oktober nanti, kata Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata, walaupun RUU itu pada mulanya dijangka dibentangkan pada sesi semasa, namun Kabinet baru sahaja meluluskannya drafnya baru-baru ini.

"Kita akan cuba bentangkannya paling awal semasa persidangan ketiga (Oktober)... kita cuba bentangkan pada persidangan kedua (semasa), tetapi perkara itu (draf) baru sahaja diluluskan oleh Kabinet,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran Laporan Tahunan 2023 Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG), di bangunan Parlimen, di sini pada Selasa.

Mac lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said menyuarakan harapan agar Akta Perkhidmatan Parlimen boleh berkuat kuasa tahun ini, dengan menekankan kepentingannya bagi meningkatkan kebebasan struktur parlimen.

Akta Perkhidmatan Parlimen disasar memberikan autonomi kepada Parlimen dalam menguruskan hal ehwalnya, termasuk dalam soal pengambilan pekerja dan kewangan. Akta itu diperkenalkan pada tahun 1963, tetapi dimansuhkan pada tahun 1992. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: