NS buat penilaian semula aset selepas 40 tahun
SEREMBAN - Kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sedang melakukan penilaian semula pegangan atau aset di seluruh negeri ini.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan, J Arul Kumar berkata, kali terakhir penilaian semula dibuat adalah pada tahun 1983.
"Ada tanggapan di luar sana apabila penilaian semula ini dibuat, kita akan mengenakan cukai taksiran yang lebih tinggi.
"Ikut keputusan sekarang, kita memang perlu buat penilaian semula kerana ia sudah lebih 40 tahun tidak dilakukan. Tapi akan berlaku kenaikan atau tidak, kerajaan negeri belum buat apa-apa keputusan lagi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Wisma Negeri di sini pada Selasa.
Menurutnya, penilaian semula yang sedang dijalankan ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk diselesaikan sepenuhnya khususnya di kawasan PBT yang lebih besar.
Sebagai contohnya, jelas beliau, di bawah kawasan seliaan Majlis Bandaraya Seremban(MBS) sahaja terdapat hampir 350,000 hartanah yang perlu dinilai semula bagi membolehkan dikenakan cukai.
"Kalau di bawah kawasan MBS setakat ini baharu separuh sahaja yang dah dinilai semula dan perlukan masa antara dua hingga tiga tahun untuk diselesaikan," katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan aduan kenaikan cukai taksiran di beberapa kawasan Nilai disebabkan proses pemutihan dan ia hanya melibatkan kawasan industri.
Ujarnya, terdapat 974 premis di Kawasan Industri Nilai 3 dan Nilai Inland Port telah diberi notis Pindaan Senarai Nilaian.
"Premis ini sebelum ini telah disalah klasifikasikan sebagai kawasan komersial sedangkan dalam geran ia sebenarnya kawasan perindustrian.
“Sekarang, MBS telah membuat pemutihan dan membetulkan kesilapan itu. Jadi kadar cukai taksiran yang dibayar mereka sebelum ini akan dipinda mengikut kadar baharu bermula bulan depan,”katanya.
Arul berkata, pemilik hartanah perlu membayar dua kali ganda nilai cukai tahunan berbanding sebelum ini.
Katanya, mereka yang tidak berpuas hati dengan nilaian dibuat boleh berhubung dengan MBS bagi membuat semakan dan kemukakan surat bantahan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!