Pakaian rasmi Sukan Olimpik: MCA terkilan sikap lepas tangan Hannah Yeoh

Saw Yee Fung
Saw Yee Fung
A
A
A

MCA mengakui terkilan dengan sikap lepas tangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung isu pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 yang diumumkan pada Isnin.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, sebagai menteri beliau sepatutnya menyelesaikan masalah yang timbul selepas menerima kritikan hebat di sosial media.

"Bukan hanya (kritikan) itu sahaja, pakaian rasmi tersebut juga dilihat tidak membangkitkan semangat kesukanan berbanding dengan rekaan sebelum ini.

"Lebih mengecewakan apabila Hannah Yeoh mengeluarkan kenyataan 'lepas tangan' berhubung isu ini. Adakah dengan mengeluarkan kenyataan bahawa pakaian rasmi tersebut di bawah tanggungjawab Malaysia Olimpik Malaysia (MOM) serta di luar bidang kuasa KBS, isu ini dianggap selesai?

"Sebagai menteri, adakah Hannah tidak boleh bersuara langsung atau memberi pendapat? Apakah status menteri itu tidak laku?," katanya menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib mengumumkan pakaian rasmi tersebut dibangunkan dengan mengambil kira konsep rekaan terkini walaupun berdepan kekangan tertentu.

Beliau berkata, pemilihan pakaian rasmi itu dibuat selepas MOM dan pihak penaja berbincang dan mempertimbangkan beberapa faktor antaranya kos yang perlu dikeluarkan.

Pada Jumaat, pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, rata-rata peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.

Mengulas lanjut Yee Fung berkata, pakaian sukan rasmi kontinjen negara seharusnya menggunakan warna dan corak yang membangkitkan semangat kesukanan.

"Ia sekali gus dapat melahirkan rasa bangga atlet negara yang membawa imej Malaysia ketika memakainya.

"Tidak perlu berkira dengan atlet kerana mereka membawa nama negara dan jika mereka berjaya mencipta kemenangan, pasti nama Malaysia menjadi sebutan dan lebih dikenali serta disegani di mata dunia," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!