Bonggol tinggi seakan 'tembok' gambar lama ditular kembali
KUALA NERUS - Gambar memaparkan bonggol jalan dibina tidak mengikut spesifikasi yang didakwa berlaku di Terengganu adalah gambar lama dan kembali ditularkan di media sosial.
Hasil carian mendapati gambar bonggol tinggi seakan tembok itu mula dimuat naik di media sosial sejak 2022 dan ia turut dikongsi oleh pemilik laman sosial dari Indonesia.
Terbaharu, satu hantaran di laman Facebook Kuala Nerus pada Rabu lalu turut menggunakan gambar sama sehingga mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Terdapat komen yang menunjukkan rasa tidak puas hati kerana bonggol seperti itu yang dikatakan dibina di Kampung Wakaf Mesira di sini mengganggu pemanduan malah ada yang turut mendakwa ia mengakibatkan kerosakan pada kenderaan.
Bagaimanapun, tinjauan Sinar Harian di kawasan bonggol terbabit pada Selasa mendapati tiada kelihatan bonggol sama sebagaimana didakwa dan terdapat tiga binaan bonggol baharu mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menurut seorang penduduk, Mustafa Awang, 52, bonggol tersebut siap dibina sekitar dua minggu lalu dan ia dapat memperlahankan trafik di sekitar kawasan terbabit.
"Pembinaan bonggol ini lebih kepada menjamin keselamatan kerana kawasan ini biasanya orang bawa kenderaan dengan laju dan kerap juga berlaku kemalangan.
"Boleh dikatakan secara purata dalam sebulan berlaku satu kemalangan terutama di simpang tiga Kampung Wakaf Mesira.
"Pernah juga berlaku kemalangan dalam kalangan penduduk di sini menyebabkan mangsa lumpuh, motosikal terbalik sehingga pembonceng tercampak. Semuanya gara-gara memandu laju," katanya ketika ditemui Sinar Harian dekat sini.
Menurutnya, pembinaan bonggol di kawasan itu mengikut spesifikasi dan dilengkapi papan tanda yang mencukupi, lampu berkelip serta lampu diod pemancar cahaya (LED).
"Apabila spesifikasi lengkap, saya rasa tak ada masalah apabila kita bawa kenderaan dengan perlahan dan mematuhi had laju ditetapkan. Masalah hanya timbul apabila kenderaan dipandu dengan laju.
"Kawasan ini juga dekat dengan lombong kuari, jadi lori-lori besar sudah biasa melalui jalan ini. Apabila adanya bonggol, ia akan meredakan aliran trafik sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain, "katanya.
Ditanya mengenai gambar tular binaan bonggol seakan tembok itu, Mustafa berkata, dia tidak pernah menemui binaan sedemikian di kawasan itu.
"Saya pun tak pasti gambar itu di mana, tetapi saya boleh beri jaminan ia bukan berada di kawasan Kuala Nerus," ujarnya.
Sabtu lalu, media melaporkan satu hantaran menggunakan gambar sama yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial di grup Warga Kuantan OFFICIAL bukan berlaku di Pahang.
Perkara itu disahkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan menyatakan hasil semakan mereka mendapati bonggol berkenaan berada di Terengganu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!