PH lancar manifesto Sabtu ini

Mohamad ketika berucap dalam ceramah perdana yang diadakan di Ladang Sempah, Sungai Bakap pada Selasa.
Mohamad ketika berucap dalam ceramah perdana yang diadakan di Ladang Sempah, Sungai Bakap pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Pakatan Harapan (PH) dijangka melancarkan manifestonya sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada Sabtu depan.

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bagi PH, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, manifesto atau iltizam calon, Dr Joohari Ariffin itu akan diumumkan pada ceramah mega yang akan diadakan pada sebelah malam.

"Jadi saya ingin menjemput semua pengundi dan masyarakat untuk hadir pada ceramah mega yang akan diadakan pada malam Sabtu nanti untuk kita sama-sama mendengar apakah tawaran atau iltizam calon PH buat Sungai Bakap.

"Kerajaan negeri akan terus membantu Cikgu Joohari untuk memberi khidmat dan kebajikan kepada rakyat Sungai Bakap," katanya ketika berucap dalam ceramah perdana di Ladang Sempah di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, Joohari atau mesra disapa dengan panggilan cikgu memberi bayangan antara perkara yang akan ditekankan dalam iltizamnya (manifesto) ialah menekankan soal Perpaduan dan mengetengahkan pendekatan "PADU"

"Saya nak tekankan P ialah prasarana kerana ia sering kali menjadi masalah masyarakat di sini termasuk isu bekalan air, banjir dan juga (kerosakan) jalan raya.

"Huruf A adalah menerusi penekanan akhlak, akademik dan anak muda, manakala D berkisarkan tentang damai, maka kita akan cuba memastikan sekurang-kurangnya untuk peringkat ini kita akan laksanakan kempen politik secara berakhlak dan cuba hulurkan perdamaian," katanya.

Bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata sekiranya diangkat sebagai wakil rakyat kelak, beliau akan memastikan semua pengundi di kawasan itu dilayan secara adil, sesuai dengan huruf U yang bermaksud Untuk Semua.

Artikel Berkaitan:

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.