TVET junior bentuk jurutera mulia
SEBUAH artikel bertajuk 'Why Japan is so successful at returning lost property' mengingatkan penulis kepada insiden yang berlaku 36 tahun lalu di Tokyo.
Ketika menaiki shinkansen dari Tokyo ke Koganei Shi, penulis yang sedang mengikuti pengajian sarjana bidang automasi dan robotik di Universiti Teknologi dan Pertanian Tokyo (TUAT), tertinggal beg tangan diletakkan di tepi tingkap kereta api laju itu.
Belum sempat penulis sampai ke rumah dari stesen Koganei Shi yang mengambil masa lebih setengah jam dengan berbasikal, seorang pegawai polis sudah pun menunggu dan membawa beg tangan tersebut.
Pengalaman 36 tahun lalu itu tersingkap dalam rencana tersebut yang menyebut lebih 500,000 kad pengenalan diri dikembalikan kepada empunya pada 2018 melebihi 70 peratus; 130,000 telefon bimbit dipulangkan lebih 80 peratus dan 240,000 dompet diserahkan kembali kepada tuan punya melebihi 65 peratus dalam tempoh 48 jam.
Penulis langsung teringat pesanan Profesor Minoru Hayase supaya pulang nanti latihlah anak-anak muda dari Malaysia yang ketinggalan jauh dari segi kemahiran teknikal dan kejujuran.
Kejujuran ialah asas kejayaan seseorang itu, kata Profesor Hayase.
Justeru, penulis yang kini mula melaksanakan TVET Camp Junior iaitu program pelbagai latihan termasuk kemahiran pertukangan kayu melibatkan remaja berumur antara 6 dan 19 tahun ketika cuti sekolah atau hujung minggu bagi memupuk minat ke arah bidang kejuruteraan dan teknologi sebagai karier jurutera profesional.
Namun, mereka dilatih secara holistik supaya menjadi jurutera yang ikhlas dan jujur.
Sepanjang program TVET Camp Junior, remaja diingatkan tidak menipu. Jangan menyiapkan tugasan secara penipuan sekadar untuk muncul pemenang.
Program berkenaan sebenarnya bertujuan melahirkan bakal jurutera yang ikhlas dan jujur ketika membina bangunan.
Akhirnya, bangunan yang dibina menjadi berkat dan tidak mengalami sebarang kecacatan dari segi struktur pembinaan.
Jujur
Program ini penulis selitkan dalam pelan induk pelaksanaan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) untuk dilaksanakan di Selangor pertengahan tahun ini dalam bidang kemahiran akademik-industri dari peringkat diploma hingga ijazah kedoktoran falsafah (PhD).
Ia bergandingan dengan program pensijilan profesional bidang pengeluaran termaju, automasi dan robotik termaju, kecerdasan buatan, data raya dan keselamatan siber.
Apakah hubung kait artikel di Jepun dengan jurutera yang jujur di Malaysia? Penulis teringat tentang mulianya sifat amanah yang dijelaskan ALLAH SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 23-34 dan surah al-Maaidah, ayat 119-120.
Sifat jujur, meskipun mereka bukan beragama Islam telah ditanam dalam minda orang Jepun sejak zaman berzaman sehingga sekarang.
Tidak hairanlah Jepun berjaya mengekalkan resipi kejayaan dalam segala bidang terutama pembangunan teknologi dan kejuruteraan yang telah lama dikuasai negara maju di Barat selepas Perang Dunia Kedua yang berakhir pada 1942.
Penerapan nilai kejujuran ini akan penulis jadikan tonggak pengisian perancangan pelan induk IKTISASS sebagai salah satu teras sifat kental ke arah kejayaan, bakat kemahiran teknologi dan kejuruteraan secara holistik.
Kesimpulannya, penulis percaya TVET Camp Junior yang bakal menjadi teras pengajaran dalam perlaksanaan IKHTISASS boleh melahirkan jurutera yang bersikap mulia.
Sekalipun, kehidupan pada ketika ini begitu mencabar sehingga kejujuran dan keikhlasan boleh dijual beli, namun penulis percaya TVET Camp Junior boleh membentuk jurutera mulia dan jujur pada masa depan.
* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!