73.9 peratus setuju parti politik perlu telus urus sumber dana - IDEAS

Dr Tricia Yeoh
Dr Tricia Yeoh
A
A
A

SHAH ALAM - Hasil daripada kuiz Pantau Dana Politik yang dilancarkan pada Disember 2023 memperoleh 73.9 peratus responden bersetuju parti politik perlu lebih telus mengenai sumber dana dan membuktikan sokongan awam teguh dalam pendanaan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh berkata, Kuiz Pantau Dana Politik adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan merupakan satu alat berguna mengukur pemahaman awam mengenai keperluan mendesak untuk Akta Pendanaan Politik di Malaysia.

"Kami teruja terhadap pembabitan awam dengan kuiz ini dan saya berharap para penggubal dasar kita memberi perhatian terhadap hal ini.

"Ia merupakan sebahagian daripada usaha Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) untuk mengukur sokongan awam terhadap Akta Pendanaan Politik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, dapatan itu juga menunjukkan sebanyak 63.7 peratus menyokong idea pembiayaan awam untuk parti politik dan 55 peratus menyatakan sokongan untuk Akta Pendanaan Politik.

Jelas beliau, majoriti sokongan untuk mekanisme ketelusan dan pembiayaan awam menekankan keperluan kerajaan untuk menggubal Akta Pendanaan Politik.

Bagaimanapun menurutnya, pembiayaan awam masih belum dimasukkan dalam dasar Kabinet setakat September 2023.

"Pembiayaan awam untuk parti politik bukanlah satu cadangan dasar baharu. Dengan dua pertiga negara di seluruh dunia mengamalkannya, jelas bahawa perundangan pendanaan politik yang berkesan mesti merangkumi peruntukan pembiayaan awam.

Artikel Berkaitan:

"Antara manfaat penting pembiayaan awam termasuk mengurangkan pengaruh perniagaan besar dalam politik serta mengukuhkan sistem parti politik di Malaysia, sekali gus memperkukuhkan kesihatan demokrasi kita," ujarnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, IDEAS mengalu-alukan orang awam untuk mencuba kuiz tersebut dan menyertai gerakan mendesak kebertanggungjawaban dalam pembiayaan politik.

Jelasnya, Kuiz Pantau Dana Politik boleh didapati di pantaudanapolitik.com dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

"Kami menggesa orang awam untuk berkongsi kuiz ini dengan rakan sekerja, keluarga dan rakan-rakan serta di platform media sosial.

"Sejak dilancarkan pada Disember 2023, Kuiz Pantau Dana Politik telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan seramai 2,770 orang pengguna menjawab keseluruhan kuiz.

"Selain itu, seramai 12,259 pengguna menyelesaikan sekurang-kurangnya satu halaman telah menyumbang kepada 107,652 halaman kandungan pendidikan yang diselesaikan," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!