PRK Sungai Bakap: Calon PH, PN ada potensi menang
SHAH ALAM - Kedua-dua calon sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) berpotensi untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan.
Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ia berikutan sejarah politik di kawasan berkenaan memperlihatkan kerusi itu bersifat terbuka kerana pernah dimenangi pelbagai parti politik.
“Kawasan ini dinaungi Parlimen Nibong Tebal dan ada tiga parti berbeza yang memerintah tiga DUN di satu kawasan Parlimen, ini menunjukkan bahawa ia mempunyai dinamik politik berbeza dengan tempat lain.
“DUN Sungai Bakap ini kerusi yang terbuka dan kalau dikaji dari awal, tidak ada satu parti politik pun yang menang dengan majoriti lebih 2,500 undian dan dalam sejarah politik kita lihat Barisan Nasional (BN), UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas pernah memenangi kerusi tersebut.
“Jadi, mahu kata ini kubu Pas atau PH pun tidak boleh. Ini satu ‘wake up call’ kepada kedua-dua parti supaya bekerja dengan lebih keras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis wacana siri 445 bertajuk ‘Sungai Bakap: Buku Bertemu Ruas’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Program yang dihoskan Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin itu turut menampilkan Ketua Penerangan Armada Bersatu Pulau Pinang, Harris Idaham Rashid dan Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, cabaran utama yang perlu dihadapi oleh kedua-dua gabungan parti itu adalah berusaha membawa keluar dan meyakinkan pengundi Melayu.
“Saya tidak menolak faktor latar belakang pendidikan dan hubungan calon dengan masyarakat turut menjadi penyumbang terhadap kemenangan nanti, kedua-duanya ada kekuatan.
“Tetapi yang menjadi persoalan bagaimana mahu membawa pengundi Melayu keluar undi. Paling penting di pihak PH adalah usaha menepis segala serangan yang diketengahkan PN melibatkan isu semasa dan PN pula menepis isu kelayakan.
“Bagi saya, kedua-dua parti gabungan perlu melihat isu tempatan yang lebih besar untuk kembalikan pertarungan yang sengit seperti memajukan kawasan tersebut, jana pendapatan untuk masyarakat setempat berbanding berkata mengenai kelayakan semata-mata,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!