PRK Sungai Bakap: Latar belakang pendidikan kekuatan calon PH

Fahmi ketika menjadi panelis wacana siri 445 bertajuk ‘Sungai Bakap: Buku Bertemu Ruas’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Fahmi ketika menjadi panelis wacana siri 445 bertajuk ‘Sungai Bakap: Buku Bertemu Ruas’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Latar belakang pendidikan tinggi dan cemerlang menjadi kekuatan buat calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, ia menjadi kelebihan berikutan kelayakan akademik itu menyebabkan calon tersebut lebih dipercayai untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Calon PH sangat berkualiti dan bukan calang-calang orang. Saya yakin dengan gerak kerja beliau (Joohari) dan latar belakang sebagai seorang guru yang semestinya rapat dengan masyarakat.

“Beliau mempunyai kelebihan dan mampu diangkat berbanding calon Perikatan Nasional (PN) yang mungkin hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja malah saya sendiri pernah turun dan menyaksikan sendiri Joohari sangat dikenali.

“Ramai yang menegur beliau termasuk anak didik, guru-guru dan juga penduduk setempat. Bukan setakat mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tetapi, perwatakan beliau juga sangat baik dengan agama yang dimilikinya termasuk hubungan bersama masyarakat,” katanya.

Wacana Sinar Harian bertajuk 'Sungai Bakap: Buku Bertemu Ruas’ menampilkan (dari kiri) Noor Nirwandy, Mohammad Tawfik, Harris Idaham dan Fahmi di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Wacana Sinar Harian bertajuk 'Sungai Bakap: Buku Bertemu Ruas’ menampilkan (dari kiri) Noor Nirwandy, Mohammad Tawfik, Harris Idaham dan Fahmi di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. Foto Sinar Harian / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis wacana siri 445 bertajuk ‘Sungai Bakap: Buku Bertemu Ruas’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Program yang dihoskan Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin itu turut menampilkan Ketua Penerangan Armada Bersatu Pulau Pinang, Harris Idaham Rashid dan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kewujudan sinergi antara kerajaan Persekutuan dan negeri telah membantu meningkatkan sokongan pengundi di Sungai Bakap khususnya terhadap calon tersebut.

“Dalam tempoh satu tahun setengah ini terutamanya di Pulau Pinang, ada beberapa perkara yang telah diumumkan dan sinerginya telah menunjukkan hasil.

“Antaranya ialah pembinaan atau pengumuman peruntukan untuk perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan kelulusan lebuh raya Juru-Sungai Dua.

“Saya yakin faktor dan sinergi ini telah meningkatkan keyakinan pengundi di DUN Sungai Bakap kerana perubahan yang dibawa,” ujarnya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.