Paksi Penentangan sedia gempur Israel
BEIRUT - Gerakan anti-Israel di Asia Barat pada Isnin menzahirkan kesediaan mereka untuk berjuang di sisi pejuang Hizbullah jika perang tercetus dengan Israel.
Pengumuman itu dibuat Paksi Penentangan di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat di sempadan Lubnan yang dikhuatiri akan menyebabkan konflik lebih meluas di rantau berkenaan.
“Kami akan bertempur secara habis-habisan dengan Hizbullah,” kata jurucakap kumpulan pejuang di Iraq sambil menambah beberapa penasihat tentera dari Baghdad sudah pun berada di Beirut.
Seorang lagi wakil gerakan anti-Israel itu memaklumkan anggota Pasukan Mobilisasi Popular Iraq, Briged Fatemiyoun di Afghanistan, Briged Zainebiyoun di Pakistan dan pejuang Huthi di Yemen akan dikerahkan ke Lubnan untuk berperang dengan rejim Zionis.
Hizbullah dan musuh lama mereka, Israel telah berbalas serangan di sempadan, beberapa hari selepas rejim Zionis memulakan kempen pengeboman ganas ke atas Genting Gaza sebagai respons terhadap Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan Hamas.
Sebelum ini, pegawai kanan Hizbullah berulang kali menegaskan mereka enggan berperang dengan Israel, namun sentiasa siap siaga jika situasi itu tidak dapat dielakkan.
Pada minggu lalu, Menteri Luar, Israel Katz sengaja mencetuskan provokasi apabila beliau memalu gendang perang ke atas kumpulan tersebut kerana berang selepas 'kelemahan' mereka didedahkan kepada umum menerusi rakaman video diambil dron dari lokasi strategik di kawasan utara diduduki rejim Zionis.
Sehari selepas itu, Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah dengan tegas memberitahu gerakan penentangan dari Iran, Iraq, Syria, Yemen dan negara sekutu lain mahu menghantar puluhan ribu pejuang untuk membantu gerakan tersebut jika Israel benar-benar menyerang Lubnan seperti yang dilakukan ke atas Genting Gaza.
“Hizbullah sendiri sudah mempunyai lebih 100,000 pejuang yang sentiasa dalam kedudukan bersedia untuk menggempur musuh,” katanya.
Sementara itu, pakar Hizbullah, Qassim Qassir memberitahu, pertempuran terbaharu bersama Israel itu sebahagian besarnya adalah berdasarkan teknologi canggih dan hanya mahu menunjukkan kehebatan senjata masing-masing.
Bekas Ketua Dasar Perancangan untuk Kementerian Luar Israel, Eran Etzion bagaimanapun tidak menolak kemungkinan berlakunya 'pertempuran barisan hadapan' yang paling ditakuti komuniti antarabangsa kerana berpotensi mencetuskan perang lebih dahsyat.
“Kita mungkin akan melihat penyertaan pejuang dari Yemen dan Iraq serta 'aliran besar-besaran' anggota dari Islamabad dan Kabul ke kawasan Syria bersempadan Israel,” tambahnya lagi.
AS TOLAK CAMPUR TANGAN
Ketika dunia memberi tumpuan kepada perkembangan konflik Beirut-Tel Aviv, Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat (AS), Charles Q Brown dalam satu kenyataan pula memberi amaran mereka mungkin tidak dapat membantu Israel untuk menghadapi perang habis-habisan bersama Hizbullah.
Jeneral Pasukan Tentera Udara itu percaya Iran akan lebih cenderung untuk berada di belakang kumpulan pejuang tersebut jika perang meletus.
“Sebarang ofensif Israel ke atas Lubnan hanya akan mengakibatkan perang lebih meluas, sekali gus meletakkan pasukan tentera AS dalam situasi bahaya.
“Kami tidak lagi akan memberikan bantuan sama seperti ketika Teheran melancarkan ratusan misil dan dron ke atas Tel Aviv pada April lalu. Sukar untuk menangkis roket jarak dekat yang dilancarkan Hizbullah ke sepanjang sempadan Israel,” ujarnya.
Menurutnya, keselamatan pasukan tentera AS adalah keutamaan pada masa ini dan tiada insiden serangan ke atas pangkalan mereka di rantau tersebut sejak Februari lalu.
“Washington akan terus memberi peringatan kepada Israel supaya tidak berperang dengan Lubnan dan menggesa mereka supaya membuka mata untuk melihat impak peperangan itu kepada semua pihak,” katanya merujuk kepada rancangan rejim Zionis yang mahu melenyapkan Hizbullah.
Ketika kebimbangan semakin meningkat, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh menyatakan mereka terbuka untuk menerima penyelesaian diplomatik terhadap ancaman Hizbullah, namun ia perlu mematuhi syarat ditetapkan rejim Tel Aviv.
“Kami akan melakukan apa yang perlu. Saya boleh beri jaminan kepada penduduk Israel bahawa kami menyahut cabaran dan sedia bertempur di barisan hadapan jika terdapat keperluan berbuat demikian,” menurutnya menerusi wawancara bersama Channel 14 pada akhir minggu lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!