Ikan mati kepanasan, penternak rugi RM100,000
MUSIM kemarau di Kelantan sejak awal Mac lalu banyak memberi kesan terhadap penternak ikan air tawar dalam sangkar di tali air sehingga mereka mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Pelbagai usaha dilakukan bagi mengurangkan masalah itu berikutan tali air yang mengering namun keadaan menjadi lebih sukar kerana kekangan kewangan selain keadaan cuaca panas yang berlarutan.
Walaupun keadaan serba kekurangan, penternak terbabit melakukan pelbagai usaha bagi mengurangkan jumlah kematian ikan.
Wartawan Sinar Harian, Aswany Omar bertemu penternak ikan air tawar di Kampung Padang Durian, Kota Bharu bagi mendengar masalah yang tidak berkesudahan itu.
Lebih 30 penternak ikan dari Kampung Padang Durian terpaksa membina telaga tiub supaya dapat menampung bekalan air ke dalam tali air yang menempatkan sangkar ikan patin dan keli yang diusahakan mereka.
Beberapa wakil penternak yang ditemui di lokasi ternakan baru-baru ini mendakwa, sebelum ini mereka kerugian lebih RM100,000 berikutan ikan yang diternak dalam lebih 40 sangkar mati dan tidak sempat dijual kerana tali air tersebut mengalami kekeringan berikutan musim kemarau yang berlaku.
Penternak Wan Jusoh Wan Safie, 58, berkata, mereka mula membina telaga tiub sedalam lebih 30 meter sejak awal Ramadan lalu selepas ikan yang diternak mati akibat air kering dan tanah merekah.
Menurutnya, sebanyak 35,000 ekor patin mati sepanjang Ramadan lalu sehingga menyebabkan dia menanggung rugi lebih lebih RM10,000.
“Kami mengambil keputusan membina telaga tiub dari sawah bersebelahan tali air, ihsan penduduk setempat yang membenarkan tanahnya digunakan,” kata Wan Jusoh.
Jelasnya, mereka menggunakan enjin untuk mengepam air dari telaga tiub ke tali air melalui saluran paip sepanjang 50 meter bagi mengairi tali air tersebut.
“Saya baru sahaja melepaskan kira-kira 50,000 benih patin dan berharap air tidak kering. Saya juga harap percubaan ini berjaya kerana ini merupakan punca rezeki utama kami,” katanya.
Sementara itu Sulaiman Ismail, 37, pula terpaksa berusaha keras memastikan air dari telaga tiub itu sentiasa mengalir kerana ternakan ikan air tawar tersebut merupakan sumber pendapatan tetapnya.
Sebelum ini katanya, lebih 15,000 ikan yang diternaknya mati akibat kekurangan air selain terdapat beberapa sangkar yang airnya berubah menjadi hitam.
“Saya terpaksa mencari sumber air lain bagi membolehkan patin diternak terus terus hidup namun malangnya separuh daripada ikan ini tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Justeru, Sulaiman berharap ada pihak yang dapat membantu mereka bagi mendapatkan alat mengepam air yang lebih tahan lasak.
“Selain itu, pukat juga adalah antara peralatan penting yang diperlukan dan semuanya melibatkan kos yang tinggi.
“Ada penternak ikan yang tidak mampu tetapi mereka perlu lakukannya untuk menyelamatkan ikan yang diternak,” katanya.
Seorang lagi penternak Dzilalkhairi Mohd Nor, 42, yang menternak kira-kira 50,000 patin juga berhadapan dengan situasi yang sama.
“Kami anggap semua ini cabaran tetapi perlu juga berusaha untuk memastikan benih ikan dilepaskan dapat dijual dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Mujur ada penduduk yang memberi kerjasama membenarkan telaga tiub dibina di atas tanah mereka,” katanya.
Bagi, Mohamad Amirul Ismail, 30, dia turut mengalami kerugian sebanyak RM12,000 selepas ikan dipelihara mati kerana air terlalu panas dan cetek.
“Ikan masih kecil dan tidak boleh dijual. Jadi kami terpaksa tanam bimbang kawasan sekitar sangkar berbau busuk," katanya.
'Kami perlukan enjin diesel tahan lasak, berkuasa tinggi'
Sementara itu Pengerusi Penternak Ikan Air Tawar Kampung Padang Durian dan Kampung Bilok Banggu, Nik Hassan Raja Abdullah bersetuju dengan cadangan penternak supaya enjin diesel berkuasa tinggi dipasang bagi membolehkan air dapat disalirkan dengan cepat.
Bagaimanapun katanya, pemasangan enjin tersebut mahal kerana mampu bertahan lama dan tidak mudah rosak. “Buat masa ini, penternak ikan air tawar terbabit telah mengeluarkan duit mereka sendiri untuk menyedut air dari telaga tiub sebelum ia dialirkan masuk ke dalam tali air.
“Sementara enjin pengepam dengan kuasa minyak petrol bernilai RM7,000 telah digunakan untuk menyedut air dari telaga tiub itu.
“Namun penggunaan enjin ini dibimbangi tidak dapat bertahan lama dan boleh rosak pada bila-bila masa kerana ia digunakan secara berterusan setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Nik Hassan memberitahu, inisiatif yang dibuat oleh penternak di kampung tersebut membolehkan ikan peliharaan mereka dapat bertahan dalam musim kemarau yang semakin membimbangkan.
Menurutnya, lebih 90 ahli komuniti tersebut itu kini sudah mengalami kerugian kira-kira RM100,000 disebabkan kejadian tersebut.
Bagaimanapun, dengan kaedah yang dilaksanakan itu, mereka mampu meningkatkan bilangan air ke dalam tali air sepanjang dua kilometer untuk penternakan ikan patin dan keli.
“Tangki pengepam ini membolehkan penternak ikan mengepam air sehingga 40 meter dalam supaya air dapat ditakung di tali air yang sedang mengering,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!