Wakil rakyat perlu ada ijazah pertama
KENYATAAN Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pendidikan tinggi bukan syarat wajib untuk menjadi ahli politik berjaya di Malaysia telah mencetuskan perdebatan di tengah-tengah kehangatan kempen PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Dalam PRK itu, calon PN yang tidak dinyatakan kelayakan akademiknya, Abidin Ismail menentang calon PH, Dr Joohari Ariffin yang berkelulusan PhD.
Menurut Muhammad Sanusi, ramai golongan berpendidikan tinggi seperti doktor dan profesor gagal dalam politik kerana tidak memahami sosiobudaya dan denyut nadi rakyat setempat.
Kata-kata Sanusi ini bukanlah perkara baharu. Pemimpin parti lawan juga pernah mengungkapkan perkara serupa sebelum ini.
Hujah mereka, rakyat bukan menilai berdasarkan sijil tetapi apa yang mereka buat dan lakukan untuk rakyat.
Realitinya kata mereka, yang tidak belajar tinggi pun mampu mengurus dengan baik namun yang ada PhD pula kadang-kadang membuat keputusan yang silap kerana dipengaruhi unsur-unsur lain.
Disebabkan itulah agaknya, seorang aktivis politik sebelum ini pernah mendakwa sekurang-kurangnya 50 peratus ahli politik daripada sebuah parti tidak memiliki ijazah.
Namun bukan itu yang kita mahu dalam budaya politik di Malaysia. Kelayakan akademik kini sepatutnya sudah menjadi satu standard baharu kerana wakil rakyat akan menjadi penggubal undang-undang di peringkat DUN atau Dewan Rakyat. Pengalaman dalam politik sahaja tidak cukup untuk menjadi syarat seseorang itu layak menjadi wakil rakyat.
Parti dan negara berdepan cabaran besar pada masa akan datang. Dengan pertambahan pengundi muda baharu, pemikiran dan gerak kerja wakil rakyat atau calon wakil rakyat perlu selari dengan kehendak semasa.
Institut Polisi Pendidikan Tinggi United Kingdom (HEPI) menganggarkan pada tahun 2023 terdapat hampir separuh pemimpin utama daripada 195 negara pernah melanjutkan pengajian peringkat ijazah sama ada di UK atau Amerika Syarikat.
Seramai 65 orang belajar di AS, dan 58 orang di UK, termasuk dua perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Lawrence Wong; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos, dan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.
Wakil rakyat kita tidak semestinya perlu belajar sampai ke UK atau AS, tetapi paling kurang memiliki ijazah sarjana muda universiti tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!