Gagal ke Piala Dunia, usah ulangi di Piala Asia

Pemain Harimau Malaya memegang jersi Faisal Halim. Foto Bernama
Pemain Harimau Malaya memegang jersi Faisal Halim. Foto Bernama
A
A
A

HASRAT jutaan rakyat Malaysia untuk melihat skuad bola sepak negara menjejakkan kaki ke Pusingan Akhir Piala Dunia sekali lagi tertangguh.

Kegagalan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon untuk menyambar slot ke pusingan ketiga juga teramat mendukacitakan berdasarkan perjalanan awal negara ke Piala Dunia.

Piala Dunia 2026 yang dihoskan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada akan menggunakan format baharu yang lebih dinamik dengan penampilan 48 pasukan berbanding 32 pasukan pada edisi Qatar 2022.

Lambaian percikan api bumi Amerika Utara terpancar selepas Harimau Malaya bermula rentak cemerlang pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 apabila meraih kemenangan dalam dua perlawanan awal berprofil tinggi Kumpulan D.

Kemenangan luar biasa ke atas Kyrgyzstan diikuti tiga mata dibawa pulang dari bumi Taiwan menyaksikan skuad negara hanya memerlukan enam mata tambahan dari baki empat perlawanan.

Dan enam mata itu kelihatan agak meyakinkan apabila Harimau Malaya mengikat Korea Selatan 3-3 pada perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia 2022 di Qatar, Januari lalu.

Gol Harimau Malaya dijanakan Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi, diikuti jaringan masa tambahan Romel Morales, yang mengikat sentuhan mesin gol Taeguk Warriors - Jeong Woo-yeong, Lee Kang-in dan kapten pasukan lawan, Son Heung-min.

Ia ibarat kejayaan terbesar bagi sebuah negara yang beberapa kelab saingan liga masih dihimpit tunggakan dan kelewatan pembayaran gaji.

Artikel Berkaitan:

Namun Oman mengembalikan Malaysia ke alam realiti bahawa perjalanan pasukan bola sepak negara pada pusingan ketiga temasya bola sepak dunia itu masih jauh selepas menjinakkan angkatan Pan-gon di Muscat dan Bukit Jalil.

Isyarat tersebut sebenarnya lebih awal diberikan ketika Malaysia tewas kepada Jordan dan Bahrain dalam dua aksi awal Kumpulan E Piala Asia 2022.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail ketika berkongsi pandangan menyifatkan kegagalan skuad negara untuk mengatasi negara dari Asia Barat itu menjadi faktor penyumbang peluang Harimau Malaya ke Pusingan Akhir Piala Dunia 2026 tertutup rapat tanpa perlu meletakkan mengharapkan keputusan perlawanan berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan atau ihsan pasukan lain.

Bak kata bijak pandai perangai bergantung kepada diri sendiri. Malah bekas tonggak pertahanan Harimau Malaya dan Pahang itu dari awal memberi ingatan bahawa kealpaan dalam memantapkan persediaan skuad Pan-gon akan menyebabkan progres pasukan negara kembali ke takuk lama.

Apatah lagi pihak dalam industri seperti kelab dan pentadbir liga termasuk badan induk sebelum ini mengambil sikap sambil lewa ketika negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam sudah pun jauh ke hadapan dengan barisan muda yang berkualiti.

Dan terbukti apabila misi membawa pulang tiga mata dari Kyrgyzstan berakhir keputusan seri dengan gol ihsan jaringan sendiri pemain tuan rumah.

Ini menuntut Harimau Malaya merobek sekurang-kurangnya lapan gol berdepan Taiwan di Bukit Jalil, yang sebelum itu terpalit isu rumput tercabut hingga menjejaskan persiapan anak buah Pan-gon.

Situasi itu disambut sinis pengendali The Blue Wings, Gary White yang menyifatkan tidak masuk akal untuk jaringan sedemikian selepas Harimau Malaya kehilangan khidmat Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim, Romel Morales, Darren Lok dan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed.

Akhirnya kejayaan menjinakkan Taiwan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil diraikan separuh jiwa selepas impian memburu lapan gol tanpa balas tidak kesampaian.

Pencapaian Harimau Malaya menamatkan kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026 di tempat ketiga menyamai kedudukan diraih Tan Cheng Hoe ketika mengemudi skuad negara dalam Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Harimau Malaya kini kembali ke realiti bermula dari bawah apabila akan mengharungi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 tahun depan yang sekali lagi akan memperlihatkan Pan-gon mempertaruhkan barisan ampuh bagi misi penampilan di Arab Saudi 2027.

Namun sekali lagi timbul persoalan masih perlukah Pan-gon berdepan pelbagai fasa kerumitan dalam menyediakan Harimau Malaya yang mantap bagi memastikan penampilan Malaysia di pentas Piala Asia adalah satu kelaziman dan bukan tenggelam timbul seperti sebelum ini. Tepuk dada, tanya FAM!

* Zuraimee Zainal ialah Penolong Editor Sukan Sinar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!