Serik lesap hampir RM15,000, Reza Hasbi tekad buka perniagaan sendiri

Reza atau nama sebenar Mohamad Ridzuan Hasbullah
Reza atau nama sebenar Mohamad Ridzuan Hasbullah
A
A
A

TIADA tawaran bekerja dalam bidang lakonan selama lapan bulan menyebabkan pelakon, Reza Hasbi, 35, terjebak dalam perniagaan multi-level marketing (MLM) dan kehilangan hampir RM15,000.

Reza atau nama sebenar Mohamad Ridzuan Hasbullah berkata, susulan daripada kejadian itu dia bertekad untuk menjalankan perniagaan sendiri di tanah miliknya.

"Saya ada tanah di belakang rumah dan kebetulan adik-beradik mak nak jual jadi saya pun beli, saya perasan tempat tersebut cantik dan tenang. Ikutkan nak buat inap desa tapi modal tidak mencukupi.

"Konsep kedai makan ini ikut kemampuan saja sebab saya tak mampu buat secara besar-besaran. Jadi saya guna konsep kampung menggunakan kayu atau buluh dan pengunjung boleh merasai suasana seperti berada di hutan.

"Perniagaan ini pun sudah berusia hampir lapan tahun dan alhamdulillah ia sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan saya serta keluarga," katanya kepada Sinar Harian.


Tangkap layar hantaran Reza di TikTok.
Tangkap layar hantaran Reza di TikTok.

Mengulas lanjut Reza memaklumkan, beliau masih bergiat aktif dalam bidang lakonan dan baharu sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem bertajuk Sagon Tumbuk arahan Datuk Jurey Latiff Rosli.

Menurutnya, dia juga terbabit dalam penggambaran telefilem Hantu Raya Telekung pada Aidilfitri lalu dan akan terlibat dengan penggambaran teater pada bulan Oktober depan serta filem Zombie Kota Tampan tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah masih ada rezeki saya dalam bidang lakonan. Pendek kata sebagai artis kita perlu ada bisnes sendiri, ramai otai (pelakon veteran) yang pesan kepada saya mengenai perkara ini dan saya sudah pun berada di fasa itu.

"Tidak salah untuk kita cuba bidang lain, silakan sebab kita kena sentiasa mencuba. Kita perlu melompat ke arah berbeza jika yang lain tidak berjaya. Macam saya sebelum ini berlakon pekerjaan utama tetapi sekarang sudah jadi sambilan," jelasnya.

Tangkap layar hantaran Reza di TikTok.
Tangkap layar hantaran Reza di TikTok.

Dalam pada itu Reza memaklumkan, dia juga ada menubuhkan satu kumpulan iaitu Bro Re Mey untuk menghasilkan pelbagai jenis kandungan berkaitan 'review' dan video komedi.

Pada masa sama, dia juga bekerjasama dengan 'Youtuber' iaitu Team Haz untuk mempelajari lebih lanjut berkaitan sosial media seperti TikTok, Youtube dan Facebook.

"Saya tidak menolak kemungkinan untuk menjadi pencipta kandungan kerana menyedari adanya peluang baharu yang boleh diteroka di platform digital," katanya ringkas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!