30 tan abu al-Quran dilupuskan

Sebanyak 30 tan abu al-Quran dilupuskan di perairan berdekatan Pulau Angsa semalam.
Sebanyak 30 tan abu al-Quran dilupuskan di perairan berdekatan Pulau Angsa semalam.
A
A
A

KUMPULAN Media Karangkraf melupuskan sebanyak 30 tan abu al-Quran sebelum ia dihanyutkan ke perairan berdekatan Pulau Angsa di sini semalam.

Operasi pelupusan itu dilakukan bermula jam 10.30 pagi dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang yang diketuai oleh Pegawai Operasi Risiknya, Asisten Superintendan Mazre Che Mahmod bersama 14 kru kapal.

Pengurus Bahan UPSB, Rohaidah Zolkefli berkata, persiapan operasi pelupusan abu al-Quran yang pertama bagi tahun ini dilakukan sejak enam bulan lalu termasuk pembakaran al-Quran tersalah cetak secara berperingkat dengan menggunakan mesin pembakaran berteknologi tinggi atau insinerator.

“Abu al-Quran ini akan dikumpulkan dan selepas mencapai jumlah yang diperlukan, kita akan lupuskan sekali gus mengikut kaedah pelupusan patuh syariah iaitu dengan membuang atau menghanyutkannya ke laut.

“Inisiatif yang dibuat Kumpulan Media Karangkraf itu adalah mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya selepas selesai Operasi Pelupusan Debu al-Quran Siri 1/2020 di sini semalam.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah I Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria; Sarjan Mejar Kepolisan Am PPM Pelabuhan Klang, Arifin Omar.

Kerja-kerja melupuskan al-Quran dilakukan dengan cermat oleh kakitangan terlibat.
Kerja-kerja melupuskan al-Quran dilakukan dengan cermat oleh kakitangan terlibat.

Rohaidah berkata, bagi menjayakan operasi kali ini, Kumpulan Media Karangkraf bekerjasama dengan PPM Pelabuhan Klang.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah kerjasama kali kedua bersama PPM selepas kolaborasi pertama pada Mei tahun lalu.

“Sebelum itu, kita juga pernah bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk operasi pelupusan al-Quran,” katanya.

Operasi melibatkan seramai 36 kakitangan daripada UPSB dan Grup Buku Sdn Bhd itu turut dihadiri Pengurus Hal Ehwal Agama dan Penerbitan al-Quran Kumpulan Media Karangkraf, Ahmad Yani Abd Manaf dan Pengurus Kanan Tugas-tugas dan Komunikasi Korporat Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Sementara itu, Mazre selaku pegawai pemerintah pula berkata, proses pelupusan al-Quran yang dijalankan kali ini juga lebih cepat berbanding sebelum ini.

“Ini kerana sebahagian daripada kakitangan Karangkraf sudah mempunyai pengalaman tentang kaedah melupus abu tersebut. Jadi pergerakan kali ini lebih lancar dan teratur.

“Selain itu, kesemua kakitangan termasuk anggota kita juga mempraktikkan tahap keselamatan seperti ditetapkan. Kerjasama ini satu ibadah dan wajar diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Kakitangan Kumpulan Media Karangkraf dan warga PPM Pelabuhan Klang yang terlibat dalam operasi pelupusan abu al-Quran semalam.
Kakitangan Kumpulan Media Karangkraf dan warga PPM Pelabuhan Klang yang terlibat dalam operasi pelupusan abu al-Quran semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!