Denda Selangor FC: ADUN Sungai Air Tawar sumbang separuh gaji

A
A
A

EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail menyumbangkan separuh gaji beliau selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar sebagai tanda solidariti bersama Selangor FC (SFC) susulan penarikan diri pasukan pada perlawanan Piala Sumbangsih, 10 Mei lalu.

Rizam berkata, keputusan itu turut dilakukan bersama ADUN Lembah Jaya, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dan ADUN Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim.

"Saya mengumumkan untuk menyumbang separuh bulan gaji Ahli Dewan Negeri pada bulan hadapan untuk membantu SFC membiayai pembayaran denda berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Rizam memberitahu, solidariti itu bukanlah satu sandiwara politik sebaliknya manifestasi dukungan warga Rumpun Selangor kepada pasukan Gergasi Merah kebanggaan ini.

"Walau, di atas mahu pun di bawah, kita tetap setia bersama dan berharap agar penyokong dapat terus memberi sokongan teguh kepada SFC.

Kenyataan akhbar Rizam pada Rabu.
Kenyataan akhbar Rizam pada Rabu.

"Semoga pemain terus bersemangat waja dalam mendepani cabaran ini dan pasukan Gergasi Merah akan kekal unggul di dalam bola sepak Malaysia," ujar beliau.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan memaklumkan SFC didenda RM100,000 dan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 susulan ketidakhadiran pasukan itu pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Artikel Berkaitan:

Skuad Merah Kuning juga perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan musim itu dan MFL dengan jumlahnya akan dimaklumkan kelak.

Selain itu, perlawanan Liga Super minggu ke-14 antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga akan dimainkan tanpa penonton.

Selangor dilaporkan terpaksa menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden bintangnya, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi mangsa simbahan asid pada 5 Mei lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!