Denggi: Penduduk gusar, dua kematian dalam tempoh seminggu
IPOH - Dua kematian akibat denggi berlaku dalam tempoh seminggu di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Pengkalan Pegoh dekat sini, minggu lalu.
Keadaan itu menggusarkan penduduk apatah lagi berpuluh-puluh daripada mereka turut mengalami positif denggi sejak wabak berkenaan dilaporkan April lalu.
Berdasarkan statistik minggu lalu, terdapat hampir 40 kes terkumpul direkodkan di kawasan penempatan itu dengan mangsa mengalami gejala seperti demam, sakit kepala dan lenguh badan.
Penduduk, Azman Sahlan, 56, berkata, anak perempuannya antara yang menjadi mangsa demam denggi sebelum disahkan meninggal dunia akibat wabak itu, 19 Jun lalu.
Menurutnya, anak ketiga daripada empat beradik berusia 21 tahun itu, mengalami simptom kritikal sehingga mengakibatkan kiraan platelet rendah dan perlu ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
"Arwah pada mulanya mengadu sakit kepala dan apabila dimasukkan ke wad hospital platelet darahnya menurun mendadak.
"Selama tinggal di sini, inilah kali pertama arwah alami demam denggi. Semasa kejadian, anak bongsu saya juga dijangkiti wabak sama, namun dia pulih sementara kakaknya tidak dapat diselamatkan," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, kawasan RPT Pengkalan Pegoh yang mempunyai sekitar 100 rumah kediaman adalah antara lokaliti hotspot wabak denggi di daerah Kinta.
Menurutnya, aktiviti kawalan termasuk semburan asap telah dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun kes masih juga meningkat.
"Kalau ikutkan kawasan ini bukanlah dikelilingi tapak-tapak buangan sampah haram, aktiviti tanaman tanpa kebenaran yang berisiko untuk pembiakan nyamuk Aedes juga tiada, mungkin kes meningkat disebabkan faktor cuaca.
"Saya cuma harap kalau boleh janganlah ada lagi kematian disebabkan denggi berlaku di sini," katanya.
Sementara itu, ahli keluarga mangsa kedua, Abdul Latif Shaiddin, 60, yang meninggal dunia akibat demam denggi Jumaat lalu turut disahkan positif denggi.
Anak mangsa, Muhammad Nabil Abdul Latif, 18, berkata, dia bersama abang dan ibunya masing-masing mengalami simptom demam, sakit urat dan kepala sejak seminggu lalu.
Katanya, Allahyarham bapanya sebelum ini ditempatkan di ICU selama 11 hari, namun tahap kesihatannya semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia.
"Keadaan kami terutama mak dah semakin baik. Ini juga merupakan kali pertama kami sekeluarga dijangkiti demam denggi," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rohana Mohd Zin, 69, akui bimbang dengan peningkatan wabak itu lebih-lebih lagi apabila anak dan dua cucunya turut dijangkiti denggi.
"Saya dah kena dua minggu lepas, rasa sakit seluruh badan. Masuk ke hospital, doktor masukkan air sampai lapan botol.
"Bila saya dah sihat, anak dan cucu pula terkena, tetapi syukur mereka sudah terima rawatan dan pulih," katanya.
Sinar Harian dimaklumkan, satu perjumpaan telah diadakan penduduk RPT tersebut bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap penularan wabak denggi.
Wakil penduduk, Mohd Nordin Adlan berkata, dalam perjumpaan itu, penduduk disaran untuk membuat pemeriksaan kendiri di rumah secara kerap bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Ujar beliau, gotong-royong secara besar-besaran di kawasan penempatan itu juga akan diadakan dalam masa terdekat dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan wabak terus menular.
"Dalam hal ini kita tidak boleh harapkan inisiatif jabatan dan kerajaan sahaja, penduduk juga mesti mainkan peranan dengan menjaga tahap kebersihan bermula dari rumah," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!