Koeman berang aksi hambar Belanda
PENGENDALI Belanda, Ronald Koeman berang dengan persembahan para pemainnya ketika mereka tewas 2-3 kepada Austria pada awal pagi Rabu sekali gus meletakkan pasukan di kedudukan ketiga Kumpulan D.
Austria muncul juara Kumpulan D di hadapan Perancis, namun Belanda sudah dijamin layak ke pusingan kedua sebagai salah satu daripada empat pasukan tempat ketiga terbaik selepas tumbang di Berlin.
Belanda menewaskan Poland dalam perlawanan pembukaan mereka sebelum seri tanpa jaringan menentang Perancis, tapi tampil kurang memberangsangkan di ibu kota Jerman itu menentang Austria.
"Perlawanan (menentang) Perancis berjalan dengan agak baik, dengan mengambil kira keputusan, kami bermain dengan agak baik sebagai satu pasukan (tetapi) hari ini prestasinya amat teruk.
"Ada pasukan bermain buruk dalam aspek tertentu... kami perlu menekan lawan kami dan itu tidak berlaku," katanya.
Koeman berkata pasukannya melakukan banyak kesilapan ketika menentang Austria yang mendahului awal menerusi jaringan sendiri Donyell Malen.
Cody Gakpo menyamakan kedudukan selepas Romano Schmid menjaringkan gol untuk Austria, Memphis Depay kembali menyamakan kedudukan Belanda.
Namun, Marcel Sabitzer kemudiannya meledak gol kemenangan pada minit ke-80 untuk kemenangan Austria.
“Saya boleh senaraikan beberapa (kesilapan),” sambung Koeman.
"Kami bermula dengan teruk dalam banyak aspek. Kami tidak bertahan dengan baik. Terdapat banyak peluang untuk lawan.
"Kami tidak agresif. Kami kehilangan bola juga, terutamanya pada permulaan. Kami benar-benar sangat teruk," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!