Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga Rabu. - Gambar hiasan
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga Rabu, didorong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus akibat peningkatan inflasi pada Mei 2024.

Peniaga berkata perkembangan itu berlaku ketika bank-bank pusat di serata dunia telah mula bertindak menurunkan kadar faedah masing-masing.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.7065/7095 berbanding dolar AS daripada paras 4.7035/7070, sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kadar inflasi Malaysia meningkat kepada 2.0 peratus pada Mei lepas yang boleh mendorong BNM mengekalkan OPR semasa dalam usaha menguruskan inflasi.

"Dalam pada itu, realiti ketidaktentuan di Amerika Syarikat (AS) pula terbukti susulan pengumuman data ekonomi seperti Indeks Keyakinan Pengguna AS yang susut kepada 100.4 mata pada Jun daripada 101.3 mata pada Mei, 2024.

"Indeks Jangkaan juga turun kepada 73 mata pada Jun daripada 74.9 mata iaitu kekal di bawah nilai ambang 80 mata selama lima bulan berturut-turut yang lazimnya menunjukkan kemelesetan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata ketidaktentuan berterusan antara pasaran dan Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka berterusan dengan pasaran menjangkakan kadar Fed berkemungkinan turun kepada 2.25 peratus menjelang suku pertama tahun depan.

"Berdasarkan skor itu, paras ringgit berbanding dolar AS dijangka kekal sekitar RM4.71 dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9465/9486 daripada 2.9513/9537 pada akhir urus niaga Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 5.0411/0443 daripada 5.0440/0478, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.9697/9735 daripada 5.9687/9732.

Selain itu, ringgit turut mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara anggota ASEAN lain.

Ini termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.7995/8115 daripada 12.8294/8431 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4739/4764 daripada 3.4763/4792.

Ringgit bagaimanapun turun berbanding rupiah Indonesia kepada 287.3/287.7 daripada 287.1/287.5 dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.00/8.02 daripada 8.00/8.01, sebelum ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!