48 premis industri diperiksa, tujuh kertas siasatan dibuka
GEORGE TOWN - Sebanyak 48 premis industri di beberapa kawasan sekitar dua daerah di negeri ini diperiksa dalam Operasi Gempur (Op Gempur) Zon Utara oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dengan kerjasama JAS Perak, Kedah dan Perlis.
Operasi yang turut disertai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu dijalankan pada 24 dan 25 Jun di daerah Timur Laut dan Barat Daya.
JAS Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, 48 premis yang diperiksa itu terletak di Sungai Pinang, Jelutong, George Town, Bayan Lepas, Batu Maung dan Sungai Tiram.
Menurutnya, operasi melibatkan 13 pasukan yang terdiri daripada 40 anggota itu bertujuan untuk memastikan pematuhan yang baik berkaitan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan dibawahnya.
"Pemeriksaan dibuat ke atas industri dan punca pencemaran berpotensi mempunyai risiko yang menyebabkan pencemaran alam sekitar, premis yang sentiasa mendapat kekerapan aduan dan premis yang belum pernah diperiksa.
"Operasi pengilangan yang terlibat dalam pemeriksaan kali ini antaranya industri berasaskan plastik, industri kimia, pengilangan logam, industri berasaskan getah, industri kertas, makanan, tekstil, percetakan, bengkel serta elektrik dan elektronik," katanya pada Rabu.
Tambah JAS Pulau Pinang, 17 tindakan penguatkuasaan telah diambil di bawah akta tersebut yang merangkumi 10 notis arahan.
"Tujuh kertas siasatan dibuka melibatkan kesalahan berkaitan pengurusan buangan terjadual. Pelaksanaan Op Gempur ini telah berjaya mencapai objektifnya dan operasi seumpama ini yang melibatkan kerjasama bersepadu semua pihak akan terus dilaksanakan dari masa ke semasa.
"Semua pihak perlu memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kualiti alam sekitar sentiasa terpelihara," katanya.
JAS turut mengalu-alukan maklumat dan aduan jenayah alam sekitar daripada orang awam untuk disalurkan ke talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my atau portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!