Tangani kelompangan perlindungan sosial luar waktu kerja

Kelvin dan Kesavan.
Kelvin dan Kesavan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pindaan Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja 2024 akan dapat menangani kelompangan perlindungan sosial pekerja terutama membabitkan kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen berkata, beliau menyokong penuh hasrat kerajaan untuk mengembangkan perlindungan sosial berkenaan kepada lebih ramai golongan pekerja.

“Kelompangan yang masih ada (sekarang) pekerja tidak dilindungi di luar waktu kerja serta (dari segi) kelestarian perbelanjaan disebabkan kos-kos akibat kemalangan yang semakin tinggi dan amat membimbangkan.

“Perlindungan diberikan sekarang cuma merangkumi kemalangan yang berlaku semasa waktu bekerja yang diklasifikasikan sebagai bencana kerja. Maka pekerja tidak dilindungi semasa di luar waktu atau (di luar) tempat (kerja),” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat.

Kelvin berkata, mengikut statistik pada 2023, sejumlah 63,199 kes ilat dan penakat telah dilaporkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan daripada jumlah itu sebanyak 50 peratus atau 31,000 kes berlaku disebabkan kemalangan di jalan raya atau pun di rumah.

“Pada 2023 juga (keseluruhannya) sebanyak 82,876 kemalangan dilaporkan kepada PERKESO dan cuma 68,220 kes diterima sebagai bencana kerja.

“Bermaksud 18 peratus atau 14,000 daripada permohonan tersebut tidak diterima sebagai bencana kerja maka pekerja tersebut tidak mendapat perlindungan dan bantuan yang amat diperlukan.

“Bayangkan sekiranya kesemua kes bukan bencana kerja dapat dibantu dan dilindungi oleh satu skim perlindungan kemalangan yang menyeluruh setara dengan skim Perkeso sedia ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, S Kesavan berkata, perlindungan sosial di luar waktu bekerja penting untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan pekerja serta keluarga mereka.

“Perlindungan sosial menyeluruh memberikan jaminan pendapatan kepada pekerja yang mengalami kecederaan di luar waktu bekerja. Ini penting kerana kehidupan perkerja tidak terhad pada waktu bekerja sahaja.

“Tanpa perlindungan yang mencukupi, pekerja yang menghadapi kecederaan serius di luar waktu bekerja mungkin menghadapi kesukaran dalam menampung kos perubatan dan keperluan harian yang boleh menyebabkan kemiskinan,” katanya.

Justeru, Kesavan menegaskan, penting untuk kerajaan terus memperkuat dan memperluaskan sistem perlindungan sosial untuk memastikan tiada individu terpinggir dalam usaha negara membina masa depan yang lebih cerah untuk semua pekerja.

“Secara keseluruhannya pengenalan skim perlindungan kemalangan di luar waktu kerja adalah langkah yang amat penting.

“Saya harap Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengambil tindakan segera untuk merealisasikan skim ini demi kebaikan semua pekerja di negara ini. Dengan ini Sungai Siput menyokong pindaan akta keselamatan pekerja sosial,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!