Insiden baling batu bas penyokong Perak FC hanya kelakuan nakal, mengusik

Hussein. Laporan Sinar Harian
Hussein. Laporan Sinar Harian
A
A
A

KAJANG - Kelakuan nakal dan ingin mengusik penyokong lawan disyaki menjadi punca dua lelaki membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong Perak di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Petaling Jaya pada Ahad.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, susulan insiden itu orang awam menahan dua lelaki terbabit sebelum menyerahkan kepada polis.

"Mereka kini masih dalam tahanan reman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Tiada motif spesifik tetapi lebih kepada perbuatan nakal mengusik penyokong lawan. Insiden itu tidak mendatangkan kecederaan dan kerosakan besar," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kajang pada Rabu.

Sebelum itu berlangsung Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kajang baharu antara Senior Komisioner Mohd Zaid Hassan dengan Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof.

Hussein berkata, beliau menyeru penyokong meriahkan sukan dengan baik dan harmoni serta elakkan pertelingkahan atau pergaduhan.

"Sama-samalah menikmati sukan bola sepak dalam suasana harmoni," katanya.

Sinar Harian, sebelum ini melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.49 malam.

Artikel Berkaitan:

Siasatan mendapati kejadian berlaku terhadap bas membawa penyokong sebuah kelab bola sepak selepas selesai menyaksikan perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Terdahulu kecoh di media sosial apabila terdapat dakwaan insiden membabitkan penyokong Selangor FC dan Perak FC di sebuah stesen minyak di Lebuhraya NKVE.

Insiden terbabit berlaku selepas tamatnya perlawanan Liga Super membabitkan Selangor FC bertemu Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan keputusan memihak tuan rumah 2-1.

Berdasarkan klip video yang viral di akaun X mendakwa bahawa sekumpulan penyokong skuad The Bos Gaurus bertindak mengheret seorang peminat Selangor FC.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!