Juruteknik didakwa kemukakan dokumen palsu

Abdul Hadee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu tuntutan pembayaran bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjumlah RM19,301.70, empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.
Abdul Hadee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu tuntutan pembayaran bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjumlah RM19,301.70, empat tahun lalu di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Bekas juruteknik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu tuntutan pembayaran bagi kerja-kerja penyelenggaraan berjumlah RM19,301.70, empat tahun lalu.

Tertuduh, Abdul Hadee Ahmad, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu Laporan Kerja Service Express and LKKK SAVR OverHead/ Underground TNB Bidor atas nama syarikat ZG Engineering Sdn Bhd bagi bulan April 2020 berjumlah RM19,301.70

Perbuatan itu dengan niat bagi memperdayakan prinsipalnya iaitu TNB di mana kerja-kerja tersebut dijalankan oleh pekerja TNB sendiri dan bukannya syarikat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat TNB Cawangan Bidor dalam daerah Batang Padang pada 28 Oktober 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bapa kepada tiga anak itu juga didakwa dengan pertuduhan pilihan iaitu dengan curangnya telah memperdayakan TNB untuk membuat pembayaran kepada syarikat sama bagi kerja-kerja yang tidak dilakukan di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pegawai Pendakwa SPRM, Sharul Azuan Ghazali menawarkan jaminan berjumlah RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Ipoh setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid memohon mahkamah mengurangkan jaminan sebanyak RM5,000 selain perlu menjaga dua anaknya yang autisme.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin dengan RM10,000 dengan seorang seorang penjamin warganegara dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!