[VIDEO] Bank diarah cegah gangguan perkhidmatan dalam talian - BNM

A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil tindakan segera mengarahkan institusi-institusi perbankan menentukan punca utama insiden gangguan perkhidmatan dalam talian yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) memandang serius gangguan perkhidmatan perbankan yang telah mengakibatkan kesulitan kepada pelanggan.

Menurutnya, institusi perbankan juga diminta menetapkan langkah pembetulan dan pencegahan yang sesuai bagi mengelakkan isu yang sama berulang.

“Pihak bank juga telah diarahkan untuk berkomunikasi dengan pelanggan yang terjejas termasuk menjawab segera sebarang aduan dan pertanyaan yang disebabkan oleh gangguan tersebut.

“BNM turut membuat pemantauan rapi untuk memastikan institusi perbankan yang terlibat memulihkan perkhidmatan perbankan seperti biasa secepat mungkin,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Hui Ying
Hui Ying

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta pandangan kerajaan terhadap isu kekerapan gangguan perkhidmatan atas talian oleh institusi perbankan.

Tambah Hui Ying, institusi-institusi perbankan juga dikehendaki mematuhi keperluan ditetapkan di dalam dokumen dasar mengenai Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) yang dikeluarkan oleh BNM.

Artikel Berkaitan:

Dokumen dasar tersebut katanya, telah menetapkan keperluan pengurusan risiko teknologi oleh institusi-institusi kewangan, termasuk memastikan penyampaian perkhidmatan kewangan dengan cekap dan selamat bagi menjamin keyakinan awam terhadap sistem kewangan.

“BNM mempunyai bidang kuasa di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk mengenakan tindakan penyeliaan dan penguatkuasaan terhadap institusi-institusi kewangan yang didapati tidak patuh terhadap mana-mana peruntukan dokumen dasar yang relevan.

“Ia termasuklah kegagalan memastikan sistem-sistem kritikal yang menghadapi masa henti tidak

dirancang yang menjejaskan akses perkhidmatan kepada pelanggan supaya tidak melebihi masa henti maksimum yang boleh diterima,” ujar beliau.

Jelasnya, bergantung kepada penilaian ke atas punca utama dan impak gangguan yang dikemukakan, BNM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya seperti yang diperuntukkan di bawah akta-akta berkenaan, termasuklah mengenakan tindakan penyeliaan dan penalti ke atas pelanggaran peruntukan undang-undang di bawah seliaan BNM.

Bank pusat itu juga akan terus memantau serta memastikan piawaian penuh dipatuhi seperti yang telah ditetapkan di dalam dokumen dasar tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!