Kanada hidupkan peluang ke peringkat kalah mati

Jonathan David meraikan jaringannya ketika menentang Peru. Foto AFP
Jonathan David meraikan jaringannya ketika menentang Peru. Foto AFP
A
A
A

JARINGAN separuh masa kedua daripada Jonathan David membantu Kanada meraih kemenangan 1-0 ke atas Peru yang beraksi 10 pemain dalam perlawanan Kumpulan A, Copa America di Kansas City pada Rabu.

Ia sekali gus meningkatkan harapan mereka untuk menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas dan meraih tempat ke peringkat kalah mati.

Gol David pada minit ke-74 adalah gol pertama Kanada di bawah pengurus baharu Jesse Marsch.

Sebelum kemenangan tersebut, Kanada telah gagal menjaringkan gol dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa dan perlawanan pembukaan Copa America menentang Argentina.

“Kami akan menikmati masa ini, tetapi kami tahu kerja itu belum selesai,” kata kapten Alphonso Davies.

Kemenangan itu melonjakkan Kanada ke tempat kedua dalam kumpulan dengan tiga mata, di atas Chile dan Peru di tempat ketiga, kedua-duanya dengan satu mata.

Perlawanan itu berlangsung dalam keadaan panas dan lembap, dengan penolong pengadil Humberto Panjoj rebah di atas padang pada lewat separuh masa pertama dan perlu menerima rawatan perubatan sebelum digantikan.

Walaupun Kanada memiliki majoriti penguasaan bola pada separuh masa pertama, Peru mempunyai peluang yang lebih baik, dengan penjaga gol Kanada Maxime Crepeau terpaksa bekerja keras menafikan percubaan Piero Quispe dan Gianluca Lapadula.

Artikel Berkaitan:

Momentum memihak kepada Kanada selepas rehat apabila pertahanan Peru Miguel Araujo dilayangkan kad merah pada minit ke-59 berikutan semakan VAR atas terjahan kasar ke atas Jacob Shaffelburg.

Gol David daripada percubaan pertama Kanada yang tepat ke sasaran datang 15 minit selepas Araujo dilayangkan kad merah.

“Kami terlalu naif pada separuh masa pertama, tetapi bermain lebih baik pada separuh masa kedua,” kata pemain Kanada Stephen Eustaquio.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!