Syarikat rugi lebih RM300,000 jadi mangsa penipuan e-mel

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BATU PAHAT – Sebuah syarikat mengalami kerugian berjumlah RM321,698.74 (ASD68,446.54), setelah menjadi mangsa penipuan Business Email Compromise (BEC) Mac lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara berkenaan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 41 tahun berhubung perkara yang menyatakan telah menerima emel pada 27 Mac 2024 kononnya daripada sebuah syarikat luar negara yang berurusan dengan syarikat milik majikan mangsa berkenaan pertukaran akaun bank baharu.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM448,215.11 (ASD94,555) bagi kos sewaan kontena.

“Pada 2 April 2024, mangsa tanpa membuat semakan telah membuat pindahan wang daripada akaun milik syarikat ke sebuah akaun bank luar negara sebanyak RM448,215.11 (ASD94,555).

“Mangsa kemudiannya telah berhubung dengan wakil syarikat yang sebenar untuk membuat semakan berkenaan wang bayaran tersebut dan mangsa dimaklumkan bahawa pihak syarikat tidak pernah menghantar memo melalui emel untuk membuat pembayaran ke akaun baharu.

“Setelah membuat semakan semula terhadap emel bertarikh 27 Mac 2024 itu, didapati alamat e-mel tersebut adalah palsu,” katanya.

Mangsa kemudiannya telah merujuk kepada pihak bank tempatan untuk membuat pembatalan pemindahan wang terbabit, namun dimaklumkan hanya RM122,709.76 (USD26,108.46) sahaja yang dapat dikembalikan ke akaun milik syarikat majikan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!