Menjawab isu 'speed dating', garis panduan taaruf lelaki dan wanita diperkenalkan
KIRA-KIRA sebulan yang lalu, isu berkaitan dengan ‘speed dating’ hangat diperkatakan selepas penganjuran acara berkenaan viral di media sosial sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya kepada orang ramai berkaitan hukum atas perbuatan tersebut.
Perkara tersebut juga mendapat pelbagai respon dan pandangan para agamawan termasuk pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menegur tindakan berkenaan dan menjelaskan ia tidak wajar dipromosikan serta tidak mengikut landasan Islam dalam taaruf.
Ketika isu panas itu terus hangat diceritakan, pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid tampil menyeru jabatan agama agar mengeluarkan garis panduan mengenai ‘dating’ dalam konteks mencari jodoh.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akhirnya mengeluarkan satu garis panduan kepada umat Islam mengenai isu ini bagi menjernihkan keadaan.
Menurutnya, adalah menjadi fitrah manusia yang cenderung untuk mencari pasangan bagi tujuan perkahwinan.
“Namun pemilihan pasangan dan proses perkenalan hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
“Perkahwinan yang diberkati ALLAH SWT bukanlah semata-mata memenuhi segala rukun dan syarat akad nikah tetapi ia hendaklah dilakukan dengan cara yang terhormat bermula dari awal proses perkenalan sehingga waktu akad berdasarkan syariat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam artikel terbaru Irsyad Hukum siri ke-854: Garis panduan taaruf menurut Islam seperti yang disiarkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan pada Rabu.
Garis panduan yang dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tersebut antara lain meletakkan wali atau mahram wanita tersebut bersama-sama ketika melakukan proses taaruf.
Digariskan juga penetapan niat untuk tujuan berkahwin dan bukan mencari teman berbual semata-mata selain perlu mengikut hukum asas pergaulan iaitu menutup aurat, tidak berdua-duaan, tidak melunakkan suara bagi wanita, tidak bersentuhan dan menjaga padangan masing-masing.
Garis panduan dalam Islam berkaitan proses taaruf antara lelaki dan wanita seperti dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan adalah seperti berikut:
1 – Berjumpa bersama wali atau mahram kepada wanita.
2 – Menggunakan orang tengah yang dipercayai dan diyakini mampu menjadi pemerhati yang terbaik mengikut landasan syariat.
3 – Menetapkan niat untuk tujuan berkahwin dan bukanlah mencari teman berbual sahaja.
4 – Tidak meneruskan perkenalan dengan cara berdua-duaan sekiranya tiada mahram yang meneman dan tiada sebarang urusan keperluan.
5 – Menutup aurat dengan sempurna ketika bertemu.
6 – Menjaga adab serta menundukkan pandangan pada kadarnya ketika berurusan secara langsung.
7 – Golongan wanita tidak boleh menggunakan suara yang lunak dan manja ketika berkomunikasi dengan lelaki serta tidak menunjukkan reaksi dan lenggok badan yang boleh menimbulkan syahwat.
8 – Tidak bersentuhan antara lelaki dan perempuan.
Menurutnya lagi, benarlah persoalan tentang pemilihan adalah perkara paling utama dan hak setiap manusia.
“Setiap individu berhak memilih pasangan hidup dalam membina rumah tangga dengan cara masing-masing.
“Fitrah manusia memiliki kecenderungan dalam memilih, namun pemilihan pasangan hendaklah selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
“Keutamaan dalam memilih hendaklah ditekankan pada kriteria beragama dan keperibadian yang baik bagi menjamin kebahagiaan hidup berumah tangga,” katanya.
Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka peganglah dengan (wanita) yang mempunyai agama, nescaya kamu akan bahagia.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut mengingatkan umat Islam mengenai pesanan Rasulullah SAW berkaitan perkahwinan:
“Apabila datang kepada kamu seseorang yang kamu reda terhadap akhlak dan juga agamanya, maka kahwinkanlah dia (dengan anak-anak perempuan kamu). Sekiranya kamu tidak melakukannya, akan terjadilah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan yang teruk.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Sebagai kesimpulan katanya, dalam usaha mencari pasangan, seseorang Muslim hendaklah meletakkan ALLAH sebagai pelindung agar tidak terdedah dengan keseronokan dalam bersosial ketika taaruf.
“Hal ini kerana perkahwinan yang diberkati bermula sebelum akad itu sendiri iaitu daripada kesungguhan seseorang menjaga dirinya daripada segala perbuatan yang dilarang oleh syarak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!