MAVCOM catat peningkatan 8 juta penumpang setakat Mei 2024
SHAH ALAM - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mencatatkan pertumbuhan trafik penumpang udara sebanyak 8 juta iaitu meningkat 0.8 peratus bulan-ke-bulan (MoM) pada Mei 2024 berbanding 7.9 juta pada bulan sebelumnya.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam trafik domestik pada bulan sebelumnya, pertumbuhan berkenaan didorong oleh peningkatan perjalanan antarabangsa dengan kedua-dua rantau ASEAN dan bukan ASEAN.
Menurutnya, prestasi berkenaan meningkat 12.2 peratus tahun-ke-tahun (YoY) berbanding 7.1 juta penumpang pada Mei 2023.
“Trafik penumpang udara bukan ASEAN mencatatkan peningkatan MoM tertinggi sebanyak 2.9 peratus, dari 1.9 juta pada April ke 2 juta pada Mei 2024.
“Jadi, secara keseluruhannya, trafik antarabangsa menyaksikan pertumbuhan MoM sebanyak 2.2 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah beliau, angka trafik pada bulan lalu menunjukkan daya ketahanan dan pemulihan berterusan dalam sektor penerbangan.
Katanya lagi, bagi trafik antarabangsa yang merupakan penunjuk positif untuk kesihatan perjalanan dan pelancongan global.
“Dengan banyak pemulihan laluan antarabangsa dan peningkatan kekerapan penerbangan, kami menjangkakan trend ini akan berterusan.
“MAVCOM komited menyokong pemulihan industri penerbangan, memastikan piawaian tinggi dalam kualiti perkhidmatan lapangan terbang dan melindungi hak pengguna,” ujarnya.
Selain itu, Saripuddin memaklumkan trafik domestik menyumbang sebanyak 48.3 peratus, manakala untuk antarabangsa adalah 51.7 peratus daripada jumlah keseluruhan trafik penumpang setakat bulan Mei lalu.
Ujarnya, peratusan taburan tersebut sejajar dengan trend pra-Covid yang mana perjalanan antarabangsa kebiasaannya lebih tinggi.
“Pemulihan awal selepas pandemik menyaksikan perjalanan domestik pulih terlebih dahulu, namun fokus kini kembali beralih ke laluan antarabangsa.
“Peralihan ini mencerminkan trend yang lebih luas bagi peningkatan permintaan pengguna untuk perjalanan antarabangsa apabila pelancongan global pulih akibat sekatan pandemik,” jelasnya.
Saripuddin memaklumkan untuk lima bulan pertama tahun ini, trafik penumpang udara kumulatif mencatatkan 38.5 juta peningkatan sebanyak 16 peratus YoY berbanding 33.2 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Tambahnya, trafik penumpang udara antarabangsa melonjak kepada 19.9 juta menandakan peningkatan sebanyak 38.3 peratus daripada 14.4 juta dalam tempoh lima bulan pertama pada 2023.
“Lonjakan ini menandakan pemulihan yang kukuh dalam industri penerbangan dan pemulihan laluan serta kekerapan antarabangsa.
“Trafik penumpang udara domestik berkurang sedikit sebanyak 1.1 peratus YoY kepada 18.6 juta berbanding 18.8 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!