Penduduk Wuhan dikuarantin rayu bantuan
BEIJING - Penduduk Wuhan merayu sokongan orang ramai dan turut berkongsi kebimbangan mereka tentang ancaman koronavirus baharu itu di platform Weibo selepas pihak berkuasa mengumumkan langkah kuarantin tersebut.
"Kami rasa seperti dunia sudah berakhir," kata seorang pengguna laman blog mikro terbabit yang panik selepas arahan pengasingan itu dilaksanakan.
Sehingga pagi semalam, carian maklumat untuk Wuhan is sealed off (Wuhan dikuarantin) juga sudah dibaca kira-kira 510 juta kali di laman Weibo dan topik tersebut turut menarik kira-kira 214,000 perbincangan.
"Kami cuba tidak keluar dari rumah, melakukan langkah membasmi kuman dan memakai topeng muka. Tetapi, kami kini berdepan kekurangan bekalan makanan dan alatan untuk membasmi kuman. Kami memerlukan lebih banyak sumber.
"Kami sangat memerlukan bantuan orang ramai," keluh seorang pengguna lain.
Kebanyakan pengguna media sosial turut menzahirkan rasa sedih dan bimbang dengan nasib yang menimpa penduduk Wuhan.
Segelintir daripadanya turut meminta kerajaan mengagihkan lebih banyak sumber kepada penduduk Wuhan berikutan bekalan topeng wajah dikatakan tidak mencukupi selain harga makanan meningkat secara mendadak.
Sementara itu, sebuah rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan seorang pengantin perempuan di bandar berhampiran memakai topeng muka pembedahan dan kesemua tetamu yang pernah berkunjung ke Wuhan atas urusan kerja telah ditempatkan di satu meja yang sama. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!