Perjuangan Malaysia di AUG 2024 bermula
GENDANG perang temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya-Malang 2024 dipalu secara rasminya di Universitas Negeri Surabaya, Indonesia pada Selasa.
Kontinjen negara dengan status naib juara edisi ke-20 Ubon Ratchathani, Thailand berbekal semangat 49 pingat emas, 83 pingat perak dan 50 pingat gangsa tampil dengan persiapan lebih rapi.
Pada edisi kali ini, sasaran 35 pingat emas disifatkan sebagai realistik berdasarkan jumlah kekuatan 382 atlet dan pegawai yang menyahut cabaran dalam 18 acara sukan.
Malah, kehadiran atlet berprofil tinggi bagi saingan edisi ke-21 juga memperlihatkan komitmen berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkasa kontinjen negara bagi cabaran kali ini.
Kehadiran pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Mohd Fahmi; pemegang rekod kebangsaan (400m lelaki), Umar Osman dan pemegang rekod kebangsaan (400m Wanita), Shereen Samson Vallabouy, sandaran pembakar semangat atlet institut pengajian tinggi (IPT).
Kelibat pemegang rekod kebangsaan acara berpasukan compound lelaki, Mohamad Syafiq Md Ariffin dan pemenang pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023, atlet taekwondo, Muhammad Syafiq Zuber serta atlet karate, Shahmalarani Chandran dijangka menyemarakkan lagi perjuangan atlet negara.
Bagi Shahmalarani, kehadiran di Surabaya-Malang 2024 dengan misi serampang dua mata iaitu mengekalkan pingat emas dimenanginya dalam edisi Ubon Ratchathani, selain mengintai pingat emas dalam acara berpasukan.
“Ya, sudah tentu menjadi impian saya dengan persiapan rapi untuk mengekalkan pingat yang dimenangi bagi penampilan kedua di pentas AUG.
“Kami sebelum ini membawa pulang pingat perak dalam acara berpasukan di Ubon Ratchathani, dan kami akan berusaha membawa pulang dua pingat emas dari Surabaya-Malang,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!