Kes Geng TR dipindah ke Mahkamah Tinggi Shah Alam

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KLANG - Mahkamah Sesyen di sini mengarahkan kes melibatkan 20 lelaki yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.

Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya memerintahkan perkara itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan kerana kes terbabit berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh sebutan kes seterusnya belum diputuskan.

Semasa sebutan kes, Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail berkata, permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 177A (1) Kanun Tatacara Jenayah.

"Pendakwaan memohon kes tersebut dipindahkan ke mahkamah tinggi," katanya.

Sementara itu, sembilan peguam yang mewakili 16 tertuduh tidak bantahan permohonan berkenaan.

Pada 29 Mei lalu, seramai 20 lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai ‘Geng TR’ sejak lima tahun lalu.

Mereka ialah N Nithiyan, 39; S Logan, 32; R Parthipan, 32; M Keshava Nair, 30; A Balamurugan, 40; V S Wilbert, 46; M Ramakrishnan, 45; E Mohan, 34; M Thanasekaran, 44 dan Edward Liew, 49

Artikel Berkaitan:

Turut dituduh S Manoraj, 28; M Amaran, 30; S Hemanathan, 31; K Thana Seelan, 38; K Ravishankar, 43; Muhammad Razi Abdullah, 51; G Deeneskumar, 29; K Venaigaraj, 32; A Kogilan, 26 dan M Tineshkumar, 26.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana pertuduhan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Sungai Janggut, di sini pada November 2019 hingga 2 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lina Hanini Ismail dan Syafinas Shabudin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!