Judi online di Kelantan masih belum kronik - Exco
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan aktiviti judi online di negeri ini belum kronik jika dibandingkan dengan Selangor dan Kuala Lumpur.
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, kes yang dilaporkan setakat ini tidak banyak dan masih terkawal.
"Aktiviti haram ini kebanyakannya berlaku di kedai-kedai menjual telefon dan kad tambah nilai kerana judi online memerlukan id untuk masukkan wang taruhan.
"Bagaimanapun pihak kami sangat memandang serius berhubung perkara ini dan mahu SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) mengambil tindakan tegas dengan menyekat aktiviti berkenaan," katanya semasa sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, pada masa sama kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bekerjasama dengan polis dalam membanteras kegiatan judi.
Katanya, kerajaan negeri sudah lama menutup dan mengharamkan aktiviti berkait dengan judi di negeri ini.
Sinar Harian pada Ahad melaporkan, daerah Kota Bharu merekodkan kes judi 'online' tertinggi di negeri ini apabila sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka sepanjang tahun lalu.
Perkara terbabit didedahkan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun kepada pemberita semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Selain Kota Bharu, Pasir Mas merupakan daerah kedua apabila merekodkan 27 kertas siasatan diikuti Tanah Merah (24), Machang (23), Tumpat (17) dan Jeli (10). Pasir Puteh dan Bachok masing-masing sembilan, Gua Musang (5) dan Kuala Krai (2).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!