UiTM masih perlu kekal dasar hanya untuk Bumiputera

Gambar kecil: Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Gambar kecil: Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengekalan dasar Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk kaum Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah serta Sarawak masih diperlukan dalam usaha untuk merapatkan jurang antara kaum terutamanya melibatkan aspek sosio ekonomi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Laporan daripada Kongres Ekonomi Bumiputera pada tahun 2024 oleh Kementerian Ekonomi menunjukkan masih terdapat jurang ekonomi melibatkan Bumiputera daripada segi purata pendapatan bulanan, pegangan ekuiti korporat, kadar kemiskinan, pengeluaran tenaga kerja mahir serta kelayakan profesional.

Malah katanya, kadar miskin mutlak dalam kalangan Bumiputera masih memerlukan usaha secara berterusan untuk diperbaiki.

“Penubuhan UiTM sendiri adalah sebagai respons terhadap kekurangan golongan profesional yang terlatih, terutama dalam kalangan kaum bumiputera di Malaysia yang rata-ratanya terlibat dalam sektor pekerjaan tidak mahir pada ketika itu.

“Dengan tertubuhnya UiTM, lebih ramai anak-anak bumiputera memperoleh peluang menyambung pengajian dan dilatih untuk mengisi pelbagai jenis jawatan sama ada dalam sektor awam mahupun dalam sektor industri.

“Ia sebagai keperluan dalam meningkatkan kualiti hidup serta mengubah nasib mereka di Malaysia termasuk dalam sektor pekerjaan yang berstatus profesional seperti doktor, akauntan, peguam, jurutera dan lain-lain,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan bercadang untuk membenarkan bukan Bumiputera menuntut di UiTM dengan meminda Akta UiTM 1976.

Tambah Zambry, UiTM sendiri merupakan sebuah Universiti Awam (UA) yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Seksyen 1A Akta UiTM 1976 [Akta 173].

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini merangkumi kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam membuat penetapan kuota bagi kaum Melayu, anak negeri Sabah dan Sarawak, yang merupakan asas kepada agenda Bumiputera bagi pengambilan pelajar UiTM.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!